CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Thursday, March 27, 2008

Temubual Harakah bersama MB Perak

HARAKAH:Bagaimana perasaan Tuan Haji setelah dilantik menjadi Menteri Besar Perak?

IR MOHAMMAD NIZAR: Assalamualaikum wbt, saudara-saudara yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian daripada Harakah.

Syukur alhamdullilah buat masa ini ketiga-tiga parti di negeri Perak ini telah bersetuju untuk menerima PAS sebagai peneraju dan memberi sokongan kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang melantik saya sebagai menteri besar.

Oleh itu 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), 18 DAP, 7 KeADILan dan 6 PAS bersetuju sebulat suara, kesemuanya menyokong saya sebagai menteri besar tanpa berbelah bahagi. Jadi penubuhan kerajaan campuran ini adalah di atas dasar ingin melaksanakan kerajaan yang adil, yang amanah, berkebajikan, telus dan berwibawa.

Apabila saya diberi amanah untuk menerajui kerajaan campuran ini sudah tentulah perasaan saya adalah pertamanya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Yang keduanya perasaan cemas. Kenapa cemas...sebab ia merupakan suatu suasana yang belum pernah diterokai oleh mana-mana pihak khususnya di negara ini.

Jadi kita tidak ada garis panduan, kita tidak ada nasihat daripada mana-mana pihak dan jika kita nak cuba rujuk kepada 'set-up' yang ada di Kelantan jauh sekali, modul yang ada di Kedah juga tidak bersesuaian, contoh yang ada di Pulau pinang jauh berbeza, dan set-up di Selangor juga tidak boleh dimanfaatkan.

Akhirnya pimpinan PAS terpaksa bekerjasama dengan KeADILan dan DAP bagi membincangkan jalan tengah yang boleh diterima walaupaun tidak sepenuhnya.

Oleh itu terbit perasaan cemas, perasaan takut dan rasa ngeri pun ada. Malah ada juga perasaan pilu...

Tetapi dalam banyak-banyak perasaan ini yang membuatkan saya 'boleh pergi' (mampu meneruskan tanggungjawab) itu adalah perasaan keyakinan kepada Allah SWT.

Kerana ini adalah perkara yang tidak pernah dimimpikan oleh PAS Perak, jadi kita rasakan apabila ia ditakdirkan begitu, sudah pastilah Allah SWT memberikan jalan keluar sesuai dengan firman-Nya dalam surah At-Talaq yang bermaksud apabila '...kita bertawakal kepada Allah maka dia-Nya akan memberi jalan keluar...'

Itulah pengharapan yang tinggi membuatkan kami di Perak ini khususnya pimpinan daripada al-Fadil Ustaz Ahmad Awang selaku Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Perak bersama seluruh sembilan orang lagi ahli Harian yang lain.

Sebab kita hanya minta hari itu (pilihan raya umum) nak menang, kot boleh pun jadi pembangkang, habis-habis hebat pun jadi pembangkang yang kuat, tetapi Allah ini Maha Mengetahui benda-benda sedemikian.

Sehingga satu lonjakan yang kita tidak boleh duga, penghormatan daripada parti KeADILan dan DAP kepada kami pun menunjukkan ini pun ada merupakan kurniaan Allah. Jadi kita terima ketetapan itu.

Harakah:Bagaimana pula dengan proses awal penubuhan kerajaan campuran dan lantikan Tuan Haji selaku Menteri Besar yang pada mulanya mengundang perselisihan faham?

IR MOHAMMAD NIZAR: Bekenaan dengan masalah yang kita hadapi dalam penubuhan itu, sudah tentu adalah perselisihan faham. Terengganu yang mana kerajaan majoritinya adalah Umno, yang orang satu agama satu bangsa pun ada masalah, apatah lagi kami di sini.

Dan tiga parti, dan tiga bangsa maka sudah tentulah masalah jauh lebih besar tetapi alhamdulillah dengan kaedah-kaedah dan pengharapan yang tinggi itu, maka dapat dilaksanakan sehinggalah sampai ke tahap menteri besar itu boleh mengangkat sumpah.

Alhmadullilah buat masa ini, perasaan takut dan cemas tadi semakin berkurangan walaupun masih lagi kadang-kadang itu perasaaan bimbang kerana yang nak kita hadapi ini adalah perkara yang tidak menentu.

Jadi yang kita buat 'jambatan' ini, yang boleh menyeberang satu anak sungai tetapi banyak lagi sungai-sungai yang di depan itu yang mana jambatannya belum kita ketahui ada atau sebaliknya. Itulah perasaan yang dicurigai dan menghantui.

Walau bagaimana pun pengharapan kepada Allah itu masih kuat dan kita berkeyakinan suasana yang ada pada hari ini adalah merupakan ketentuan-Nya, jadi kita menerima.

Harakah:Tuan Haji banyak menyebut bahawa Tuan Haji bukanlah menteri besar PAS, KeADIlan dan DAP tetapi menteri besar seluruh rakyat namun rakyat di bawah atau mungkin ada suara-suara daripada orang kecewa dengan pilihan raya lepas memomokan yang Tuan Haji ini menjadi boneka kepada DAP?

IR MOHAMMAD NIZAR: Saya tidak nafikan tanggapan sebegitu rupa memang ada terutama daripada musuh tradisi PAS iaitu BN. Walau bagaimanapun pada hakikatnya hari ini, pada awal-awal lagi DAP dan KeADILan memberi sokongan sepenuhnya terhadap pemerintahan dan teraju ini kepada PAS.

Yang keduanya segala syarat-syarat yang ditetapkan untuk sampai ke tahap membina kerajaan yang berteras kepada nilai-nilai universal ini, diterima oleh KeADILan dan diterima oleh DAP.

Yang ketiganya jika ianya dianggap sebagai boneka, sudah tentulah beberapa portfolio-portfolio yang penting dalam kerajaan negeri Perak akan cuba dikuasai oleh mereka.

Tetapi setakat ini segala-gala portfolio yang besar-besar, yang dasarnya adalah dasar yang kukuh ianya diserahkan kepada Menteri Besar.

Saya tidak nafikan tanggapan itu akan berterusan.

Yang keempatnya, perjalanan saya dengan masyarakat sepanjang 10 hari setelah menerima titah angkat sumpah menjadi menteri besar itu, penerimaan masayarakat berbilang kaum sama ada daripada Cina mahupun India cukup-cukup baik dan amat mengkagumkan.

Pada satu sesi di mana ada hampir-hampir 6,000 anggota masyarakat Cina, saya diminta untuk berucap sedikit, boleh katakan dari segi penerimaan itu amat menggalakkan dan menakjubkan.

Dan saya merasakan tanggapan negatif itu tidak benar dan memang kita terima hakikat ini bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran dan saya tidak mewakili mana-mana parti dan individu. Saya mewakili keseluruhannya. Cuma masa dan waktulah yang akan membuktikan sama ada ianya boleh ataupun tidak.

Dan seperkara lagi yang tidak menunjukkan ia boneka ialah apabila DAP merancang untuk memulaukan sesi angkat sumpah itu dan saya sempat membincangkan perkara-perkara tersebut dengan Paduka Tuanku yang menyebabkan dikeluarkan satu kenyataan rasmi pimpinan DAP memohon keampunan daripada Tuanku Sultan Perak.

Akhirnya pada 17 Mac, Yang Berhormat Lim Kit Siang sendiri telah mendapat titah daripada Paduka Sultan untuk beliau bukan sahaja hanya membuat kenyataan tetapi secara fizikalnya memohon ampun dan itu merupakan satu penghormatan yang mana unsur-unsur boneka itu tidak wujud.

Maknanya akhir-akhirnya kembali kepada tahap menghormati keputusan yang dibuat oleh Paduka Seri Sultan Perak.

Harakah: Tempoh hari di Perak, ada juga beberapa perhimpunan awal yang didalangi oleh Umno dalam soal untuk membangkitkan sentimen melayu mungkin dan bagaimana situasi serta keadaan sekarang di peringkat bawahan ini?

IR MOHAMMAD NIZAR: Pada awal-awalnya memang ada, satu barisan tindakan yang dipelopori oleh penyokong Umno barangkali, cuba mengadakan perhimpunan di Padang Polo, namun oleh kerana ketiadaan permit ianya telah berubah ke satu lokasi yang lain tetapi sambutannya agak hambar kerana mereka juga agak tersepit.

Kerana sekiranya mereka mengenengahkan isu boneka ini banyak sangat, maka ianya akan memberi kesan kepada ketaatan mereka kepada kebawah Duli Tuanku Sultan Perak.

Oleh itu mereka cukup berhati-hati dan apa yang mereka utarakan adalah menghormati keputusan dan mereka minta orang yang hadir itu menghormati keputusan daripada Istana. Jadi untuk itu walaupun mereka nak mengelurkan kenyataan boneka ini, mereka agak tersepit kerana apabila mereka sebut, sudah tentulah mereka tidak menghormati keputusan Istana.

Dan Istana melantik saya sebagai menteri besar adalah berdasarkan kepada faktor-faktor dan penilaian oleh Tuanku sendiri terhadap tiga calon yang diutarakan untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Jadi ketiga-tiga calon ini telah dianalisis secara terperinci dalam semua aspek oleh Paduka Seri Sultan dan apabila istana membuat kenyataan memperkenankan dan bertitah bahawa pimpinan daripada PAS yang mana Mohammed Nizar ini menjadi menteri besar, maka dengan sendirinya kalau mereka bertindak 'membonekakan' iaa akan sampai ke tahap tidak menghormati keputusan.

Selain disebutkan soal menterjemahkan manifesto pilihan raya, kerajaan adil beramah dan berkebajikan, mungkin boleh dirumuskan dalam bentuk yang boleh menunjukkan misi Tuan Haji sendiri di Perak?

ImageIR MOHAMMAD NIZAR: Yang khususnya apa yang nak saya sampaikan kepada penduduk di Perak adalah...kerana rakyat Perak kombinasi kaumnya menunjukkan bahawa kita tidak boleh bangkitkan dalam isu-isu bangsa dan kaum ini sangat.

Sebab masyarakat Cina boleh dikatakan ada sekitar 41 peratus manakala Melayu 50 peratus dan selebihnya kaum-kaum lain.

Untuk itu apa yang ingin saya sampaikan selain nilai-nilai unversal itu, adalah kerajaan ini adalah kerajaan mesra rakyat, mesra perniagaan, mesra pelabur dan mesra fahaman ataupn mesra agama.

Oleh itu rakyat di negeri Perak faham bahawa kerajaan ini tidak akan meninggalkan dan menganiaya bangsa lain kerana teras kita adalah mesra rakyat, mesra perniagaan, mesra pelabur dan mesra fahaman dan mesra agama.

Malah secara khususnya kita dalam usaha nak menterjemahkan nilai-nilai universal tadi dalam konteks peradabadan dan perjalanan kerajaan ini ...insya-Allah.

Harakah: Apa langkah-langkah awal yang dilakukan oleh Tuan Haji setelah menjadi MB Perak dalam menunaikan tuntutan rakyat, adakah mencontohi kerajaan Pulau Pinang yang didakwa kononnya menghapus DEB atau merujuk kepada kerajaan Kedah yang akan mengurangkan cukai tanah yang tinggi sebelum ini?

IR MOHAMMAD NIZAR: Hal itu suatu hikmat apabila kita terpaksa mengambil masa seminggu untuk membincangkan struktur yang paling sesuai dalam rangka untuk menubuhkan kerajaan campuran ini, maka dalam peluang tempoh tujuh hari itu, perlakuan yang berlaku di Pulau Pinang dan kerajaan Kedah termasuk di Selangor memberi gambaran kepada kita untuk menganalisis kesan hasil apa yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar di negeri masing-masing.

Secara tidak langsung memberi pengajaran kepada kami berhubung ada pekara-peerkara yang boleh disebut dan ada yang tidak boleh disebut malah ada perkara yang perlu disebut tetapi dengan nada yang cukup-cukup lunak.

Itulah hikmahnya dan jika diperkenankan lebih awal kerajaan negeri Perak ini kemungkinan kita akan tersasul malah kenyataan saya mungkin tersasar dan akan mewujudkan suasana yang sukar dihadapi.

Untuk itu kita menyatakan bahawa tawaran kami adalah berdasarkan kepada tawaran pilihan raya yang baru ini.

Jadi perkara yang disentuh pada awalnya setelah angkat sumpah ialah memansuhkan segala-gala notis untuk kompauan kepada setiap Majlis Perbandaran...kita ada 15 Majlis Perbandaran di Perak ini untuk sekali itu sahaja ini termasuk salah laku 'parking' letak kereta dan juga kepada penjaja. Itu sahaja. Lain daripada itu kita tidak sentuh.Sudah tentu ini memberi kesan baik kepada raakyat.

Lain kita tidak sentuh kerana kita khuatir kombinasi kaum yang ada akan mengundang kepada perkara-perkara yang kurang manis.

Harakah : Tuan Haji ada menyebut tentang kerajaan yang mesra pelabur dan tadi pun Dato' Seri Anwar ada sebut tentang untuk menumpukan kepada peningkatan ekonomi di lima negeri yang diperintah Barisan Alternatif (BA), seolah-olah ada mesej yang nak disampaikan bahwa akan berlaku sekatan ekonomi khususnya daripada kerajaan Pusat, adakah Tuan Haji menjangka perkara itu dan apakah tindakan menangani isu itu?

IR MOHAMMAD NIZAR : Pertamanya saya nyatakan pada awal tempoh hari bahawa kerajaan campuran ini berpaksikan atas nilai-nilai universal itu sendiri dan kita akan menyampaikan kepada rakyat bahawa hasilnya ialah memberi manfaat kepada rakyat.

Yang pertamanya kebajikan, jadi rakyat ingin lihat apakah bentuk kebajikan yang tercerna hasil daripada kita yang membuatkan kerajaan yang adil dan telus ini. Mesti ada bentuk kebajikan kepada mereka dalam apa bentuk sekali pun...dalam bentuk sosialnya, pendidikannya.

Yang keduanya, kita mesti tunjukkan bahawa kerajaan ini mempunyai sifat-sifat 'kemesraan' dan tidak menakutkan pelabur-pelabur dalaman dan luaran.

Perkara-perkara yang menakutkan ialah sekiranya tiada 'continuity', kesinambungan daripada kerajaan terdahulu BN kepada kerajaan baru.

Kalau peralihan itu memberi beberapa simbol-simbol bahawa ada pertukaran dan perubahan besar yang melibatkan dasar maka ini akan menimbulkan kekhuatiran.

Oleh itu apa yang kita jangkakan ialah portfolio-portfolio di bawah menteri besar terdahulu adalah lebih kurang sama dengan menteri besar yang ada hari ini dan itu sekaligus memberi ketenteraman kepada peniaga-peniaga khususnya pelabur-pelabur.

Saya bagi contoh ada satu pelabur yang memang sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan kerajaan negeri yang terdahulu (BN) yang kemudiannya menyatakan untuk memikirkan semula perjanjian tadi memandangkan kerajaan baru (BA) telah ditubuhkan dan berfikir untuk melabur di lokasi lain.

Saya sendiri telah menghubungi pelabur tersebut yang berasal daripada negara Timur Tengah, dan setelah diterangkan secara peribadi...dia berbahasa Arab dan saya juga boleh berbahasa sama dan alhamdullilah ia berjaya dipulihkan dan pelabur tersebut akhirnya mahu meneruskan hajatnya untuk melabur di negeri ini.

Yang ketiga yang kita katakan mesra ini ialah, semangat Persekutuan. Maknanya kerajaan yang ada pada hari ini tidak sekali-kali akan menunjukkan apa-apa ruang yang boleh menyebabkan rakyat berpendapat bahawa akan terjejas hubungan antara negeri dengan Persekutuan.

Oleh itu semangat 'Federalisme' itu akan sentiasa dijunjung dan kita tidak mahu terjejas. Dalam semua aspek dan kita tidak akan menafikan apa sahaja dasar-dasar misalnya Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ini akan memberi ransangan ataupun pengajaran kepada kami untuk tidak menyentuh kalau kita merasakan ia 'sarang tebuan'.

Apabila ia disentuh sudah pastilah ada kucar-kacir. Kita mahu menjamin bahawa rakyat tiada pemikiran kedua yang mengurangkan keyakinan kepada keranjaan negeri yang baru.

Dalam proses awal ini kita berjaya menangkis apa juga perkara yang melambat dan menghantui proses kerajaan baru ini malah kita akan berusaha untuk mengelak liku-liku yang akan menjejaskan hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Harakah : Bagaimana dengan perancangan Wilayah Pembangunan Koridor Utara (NCER), adakah akan diteruskan?

IR MOHAMMAD NIZAR: Barangkali secara kebetulan dan paling tepat ialah takdir Allah SWT, saya berkesempatan berjumpa dengan orang kuat NCER sendiri iaitu Dato' Seri Anuar Zaini memberi rakaman penghargaan kepada saya dan merasakan bahawa 'looking forward to various state newly government� untuk menjalinkan hubungan baik, untuk menjayakan NCER ini.

Saya menyambut baik dan dalam pertemuan itu Dato' Seri Anuar sendiri menyatakan bahawa ada beberapa perancangan dan perancangan itu tidak bersifat politik.

Oleh kerana BN menetapkan untuk memenuhi janji-janjinya dalam NCER, maka kita akan terus menyokong kerana itu azam YAB Perdana Menteri sendiri malah sudah ada perhubungan rapat yang telah terjalin antara saya sendiri dengan peneraju NCER ini.

Kita bermatlamat dan berharap bahawa pelaksanaan NCER ini sudah tentulah akan memberi peluang dari segi pekerjaan, pembangunan dan infrastruktur negeri ini.

Kita tidak perlu persoalkan buat masa ini sebab kita rasakan NCER ini boleh diteruskan termasuk apa yang dirancang oleh Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya.

Harakah :Dalam pada itu timbul di beberapa negeri kemungkinan di Perak dari segi salah-laku yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu termasuk isu fail-fail hilang seumpamanya, jadi adakah berlaku di sini atau pentadbiran Tuan Haji akan membongkar dan mengambil tindakan-tindakan atas salah laku berkenaan?

IR MOHAMMAD NIZAR: Yang ini juga merupakan elemen yang cukup kita berhati-hati dan mengambil pengajaran daripada negeri-negeri lain.

Hal ini memberi gambaran kepada masyarakat seolah-olah ada usaha untuk 'mencari kesalahan' ataupun 'witch hunting'. Kita seboleh-bolehnya tidak ada perasaan berdendam begitu.

Pada malam 8 Mac itu, setelah keputusan diumumkan ramai penyokong BA ini mula berkerumun dan mengepung bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) dan pejabat Menteri Besar sehinggakan polis dan anggota keselamatan terpaksa membuat tindakan. Jadi kita terpaksa menenangkan suasana.

Saya sendiri telah berhubung dengan Ketua Polis Perak, Dato� Zulkifli Abdullah sendiri sedangkan pada malam itu saya baru berjaya dipilih sebagai Adun Pasir Panjang, tetapi dalam suasana nak membina sebuah kerajaan, saya telah dipanggil oleh anggota keselamatan untuk menenangkan suasana.

Jam 4 pagi (9 Mac) saya beritahu kepada semua pimpinan PAS dan penyokong yang mengepung bangunan itu supaya bertenang dan setelah mendapat kepastian daripada Ketua Polis, barulah kita bersurai.

Kita telah diberi jaminan oleh Ketua Polis Perak bahawa tidak ada apa-apa barang yang keluar masuk daripada bangunan itu kecuali barangan peribadi atau persendirian dan anggota keselamatan telah memenuhi jaminan mereka.

Kita tidak ada niat untuk membongkar kerana kita merasakan perkara itu akan menokok-tambahkan kemarahan rakyat. Biarlah apa yang berlaku itu akan dinilai oleh rakyat sendiri.

Kita tidak mahu ia akan memberi gambaran yang negatif kepada kerajaan negeri yang baru, termasuk imej buruk kepada bukan sahaja kepada ahli-ahli PAS tetapi penyokong yang hendak menyokong kita seandainya perkara-perkara yang didakwa dan salah-laku itu tidak wujud.

Pendekatan dan 'approach' yang saya lakukan ini diterima baik oleh rakan-rakan, supaya tidak menujukkan kerajaan ini mempunyai sifat dendam dan hanya nak mencari kesalahan sahaja.

Walaupun perkara itu mungkin ada kerana sepanjang perjalanan kita nanti ia mungkin akan terserlah, kalau ianya berlaku kita akan berhubung dengan agensi kerajaan yang lain seperti Badan Pencegah Rasuan (BPR) untuk membuat tindakan mengikut proses undang-undang.

Kita tidak akan membuat tindakan sendiri, mencungkil atau mencari kesalahan orang. Jika ada, biarlah BPR dan polis atau agensi berkaitan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Harakah: Mungkin ada sesuatu yang Tuan Haji ingin perkatakan kepada barisan kepimpinan kerajaan terdahulu yaang diketuai oleh Dato' Seri Tajol Rosli?

IR MOHAMMAD NIZAR: Dalam ucapan semasa angkat sumpah, saya memberi penghargaan terima kasih kepada bekas menteri besar Dato' Seri Tajol Rosli dan wakil-wakil rakyat Umno di atas khidmat yang mereka telah sumbangkan kepada penduduk di negeri ini.

Saya juga membuat mengalu-alukan sekiranya ada perkara-perkara baik yang difikirkan perlu dan ingin mereka sampaikan, berilah cadangan itu kepada kami. Dan kita juga tidak secara terus-meneruskan menyatakan apa sahaja yang dirancang oleh mereka dalam konteks sedang, dalam dan akan dilaksanakan, kita akan terus cantas ... tidak sama sekali.

Kita akan mengkaji apa yang manfaatkan rakyat, kita akan teruskan. Mana-mana yang perlu 'ditablekan' semula kita akan kaji balik.

Jadi untuk itu kita tidak mahu membanyakkan musuh. Sudahlah musuh yang ada pun kita perlu tangkis inikan pula nak menambah musuh yang baru ... saya rasa itu tidak cermat dan tidak manfaat.

Harakah: Harapan Tuan Haji sendiri dan saranan kepada rakyat khususnya di Perak? Berdepan situasi politik hari ini?

IR MOHAMMAD NIZAR: Kepada semua khususnya rakyat di negeri ini berilah kesempatan saya dan kerajaan campuran yang baru sekurang-kurangnya 100 hari. Tak pastilah sama ada 100 hari ini merupakan 'magical numbers' tetapi tiga bulan itu adalah suatu tempoh yang adil bagi menilaikan dan memberi peluang.

Sebab suasana di Perak merupakan 50 tahun dalam dakapan BN, jadi apa yang berlaku ini, satu perkara yang tidak boleh diduga dan tidak dapat kita 'imagine' malah nak dibayangkan sikit pun tak boleh.

Jadi untuk itu kita minta ya ... harapan kita supaya rakyat di Perak ini memberi sokongan.

Yang keduanya apa sahaja tohmahan-tohmahan, apa sahaja perkara yang tidak datang daripada sumber kerajaan campuran negeri Perak berupa sistem pesanan ringkas (SMS), surat-surat layang janganlah diambil kira dan dipedulikan.

Anggap itu sebagai taktik-taktik musuh menggunakan logo PAS dan menyatakan bahawa kerajaan ini akan mengharamkan macam-macam, anggap itu sebagai tidak betul.

Harapan saya kepada seluruh ahli-ahli PAS, penyokong PAS dan KeADILan untuk sama-sama kita berazam dan memohon pertolongan daripada Allah SWT mudah-mudahan dipanjangkan hayat dan dikukuhkan kerjaaan ini.

Kerana inilah merupakan struktur yang boleh memberikan suatu alternatif kepada rakyat negeri Perak yang boleh mencerminkan peradaban seluruh rakyat di negara ini.

Takdirnya struktur di Perak ini boleh bertahan, maka ianya merupakan 'the ideal example' (contoh terbaik) bagi negeri-negeri lain ... atas sebab-sebab dan sifat uniknya. Jika Perak boleh bertahan apatah lagi di negeri-negeri yang tidak mempunyai kombinasi kaum seumpama ini.

Untuk itu saya merayu dan mengharapkan ... berilah peluang.

0 comments: