CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Friday, February 6, 2009

.::Surat terbuka kepada Istana Kinta::.

Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun..

Pertamanya, patik minta ampun jika bahasa pertuturan patik ini tidak mengikuti susunan bahasa istana.

Baru-baru ini, sebagai yang termaklum, sudah pun wujud kerajaan baru di Perak. Dan banyak juga rungutan yang ditemukan dalam blog dan internet. Samada yang menyokong atau yang menyanggah, maka kita boleh sama-sama fikirkan.

Patik serta rakan-rakan dalam kalangan rakyat biasa yang tidak banyak mencapai apa-apa maklumat, ingin menyuarakan pandangan kepada tuanku berhubung hal ini.

Pertamanya marilah ditelusuri perkataan pacal Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi berhubung lompat parti. Pacal Abdullah ketika menjawab isu mengenai lompat parti pada 16 September yang tak berlaku itu, beliau kerap menyatakan bahawa ahli Parlimen yang mahu melompat itu sebagai mengkhianati pengundi dan rakyat.

Pada pandangan pacal itu, rakyat telah mengundi seseorang ahli Parlimen atas nama parti. Jadi, jika seseorang ahli Parlimen dengan tiba-tiba melompat ke parti lain, maka dia telah mengkhianati rakyat dan pengundi yang mengundinya sebelum ini.

Itulah pandangan pacal Abdullah berhubung ura-ura ahli Parlimen yang kononnya bakal melompat daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat itu. Namun, hal itu tidaklah berlaku buat masa sekarang ini.

Tiba-tiba, berlakulah lompatan parti daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional di Perak baru-baru ini. Patik dan rakan-rakan memasang telinga kalau-kalau pacal Abdullah marahkan ahli Dewan Undangan Negeri PR yang melompat ke dalam BN.

Rupanya, 'fatwa' itu cuma sah bagi kes-kes ahli Parlimen / Dun BN yang berhijrah ke PR. Kalau penghijrahan itu melibatkan ahli Parlimen / Dun PR ke BN, maka tidak timbul lagi isu-isu seperti mengkhianati rakyat dan pengundi.

Awal-awal lagi pacal Perdana Menteri telah menunjukkan sikap berat sebelah, memihak dan tidak jujur dalam percakapannya. Kalau pacal Abdullah itu jujur dan ikhlas, maka dia juga patut marahkan penghijrahan daripada PR ke BN itu.

Ini tidak..pacal itu tersenyum gembira tanpa menyedari bahawa dia telah berlaku tak jujur dengan pandangannya sendiri.

Patik berpandangan, kalau kita mahu jujur dan ikhlas dalam hal ini, kita perlulah bertanya juga kepada para pengundi dan rakyat Behrang dan lain-lain kawasan undian sebelum ini. Kita mesti bertanya, apakah mereka merelakan penghijrahan tersebut?

Apakah jalannya untuk memudahkan kita merekodkan kerelaan rakyat dan pengundi itu? Ini sememangnya tugas yang berat juga. Tapi, berbaloi juga kalau kita membuang banyak masa dan tenaga bagi memastikan rakyat dan para pengundi itu berpuas hati.

Kalau patik di tempat pengundi di kawasan tersebut, patik sendiri tak berpuas hati dengan hal itu. Patik anti ISA, anti PPSMI dan patik juga anti Auku. Maka, patik akan mengundi wakil parti yang berjuang ke arah memansuhkan ISA, Auku dan PPSMI itu.

Maka, tiba-tiba Adun dan Ahli Parlimen itu beralih arah serta hala tujuannya kepada parti yang mengesahkan Auku, ISA dan PPSMI. Adakah pacal Abdullah tak terfikirkan hal ini sebelum ini? Cuma ada satu jawapan.. Abdullah tak jujur dengan ucapannya sendiri.

Kalau dia terlupa, maka dia boleh diingatkan. Tapi, setelah dia diingatkan, maka terpaksa pula pacal Abdullah mencari helah lain pula guna membatalkan fatwanya yang lalu.

Pungutan suara
Maka, patik ingin mencadangkan kepada pihak tuanku agar dapat mempertimbang hal ini dengan akal bijaksana pihak istana. Iaitu kita perlu mengadakan pungutan suara agar kita dapat pastikan bahawa rakyat dan pengundi di bawah negeri naungan tuanku benar-benar rela dengan penghijrahan tersebut.

Rakyat Perak telah beratur sepanjang hari dan ada kalangan rakyat yang pulang kampung halaman semata-mata untuk memilih calon-calon yang diharapkan dapat membawa suatu perubahan ke negeri ini. Jadi, mereka berhak diambil pandangan juga.

Amalan pungutan bukanlah satu hal yang asing dalam negara kita. Tak silap patik, ketika Semenanjung Tanah Melayu ini mahu bergabung dengan Sabah dan Sarawak, maka telah pun kita melaksanakan kaedah ini.

Hal bagaimana kita mahu melaksanakan semula, berapakah tenaga kerja yang diperlukan dan lain-lain perkiraan dan perhitungan, semua itu boleh kita bahaskan kemudian. Undi rakyat mewakili hati, jiwa dan perasaan rakyat. Maka, mereka perlu dihormati.

Dengan undi, Adun dan Parlimen kita dinaikkan dan boleh diturunkan. Tapi, jika mereka mahu menyeberang, berhijrah ke parti lain, mengapakah undi rakyat tidak dibangkitkan? Pacal Abdullah sepatutnya peka ke atas hal ini, kerana ini adalah ucapannya sendiri.

Ampun tuanku.. Sembah patik mohon diampun..

Pergelutan dalam kuasa-kuasa pembesar politik bukan perkara baru. Sejak era Kesultanan Melayu Melaka, kita terbaca bagaimana Hang Tuah dicemburui dan dikhianti, bagaimana Hang Nadim, si cilik dengan akal pintarnya berjaya mematahkan serangan todak ke atas Singapura dibunuh dengan kejamnya akibat hasutan pembesar istana.

Pergelutan antara pembesar ini sangat dahsyat. Patik serta rakan-rakan harap pihak istana dapat pastikan riwayat suram dan hikayat gelap di dalam lipatan sirah perjuangan bangsa Melayu ini tidak berulang lagi.

Sebenarnya, patik rasa berat juga mahu menuliskan hal ini. Tapi, oleh kerana hal ini amat mustahak, maka patik gagahi juga menulisnya. Hal ini terkait dengan PPSMI.

Untuk pengetahuan tuanku.. Dato' Seri Nizar dan rakan-rakannya adalah antara mereka yang terawal membantah amalan PPSMI lewat jalan perundangan. Mereka mahu saman kerajaan persekutuan dalam hal ini. Tetapi, isu ini tenggelam timbul.

Ada riwayat menyatakan bahawa pihak eksekutif mempengaruhi mahkamah supaya tidak memanjangkan isu ini. Dan, ada pelbagai qaul serta pendapat lain yang boleh kita dengar. Tapi, untuk kesahihannya, kita perlu teliti dan siasat sendiri.

Barangkali, patik antara orang yang telah menemuramah beliau menerusi mel-e di sebuah akhbar politik ketika beliau dan anak-anaknya sedang berusaha keras membawa kes itu ke mahkamah. Patik masih menyimpan mel-e tersebut.

Bukanlah niat patik mahu mengungkit kenangan lama untuk mengangkat seseorang. Tapi apabila keadaan memaksa, maka sesiapa pun mesti cuba menyatakan keadaan sebenarnya tanpa rasa bimbang dan takut-takut lagi.

Sejak beliau diangkat sebagai Menteri Besar Perak, selalu perasaan ini menyelinap dalam hati patik dan patik tidak pernah beritahu sesiapa pun. Iaitu, seseorang itu akan terangkat darjat dan makamnya apabila dia telah membuat suatu amalan yang besar.

Semak kisah Talut dan Daud. Apabila dalam sebuah peperangan yang sengit, Daud yang masih kecil telah berjaya membunuh Jalut. Amalan dan kejayaannya membunuh Jalut itu, pada akhirnya membuatkan makam dan darjatnya terangkat sebagai raja Bani Israel.

Demikianlah juga dalam kes bekas MB Perak ini, beliau tentu ada sesuatu amalan dahulu yang menyebabkan Tuhan mengangkatnya. Bahasa Melayu adalah bahasa keramat, mulia kerana ia dimuliakan Tuhan sebagai bahasa dakwah Islam di rantau Nusantara.

Khutbah-khutbah Jumaat dan pendakwah terawal telah mempelajari bahawa Melayu bagi tujuan mengembangkan agama Islam di negara ini. Maka siapa saja yang berjuang untuk mengembalikan martabat bahasa, maka makam dan darjatnya akan terjulang!

Jatuh PR, berkuasalah PPSMI!
Kejatuhan Pakatan Rakyat adalah jatuhnya usaha memansuhkan PPSMI. Dan menangnya Barisan Nasional bererti, akan bertambahlah tenaga kekuatan baru untuk mencalar bahasa Melayu sebagai bahasa dakwah, bahasa ilmu dan bahasa pencerahan di negara ini.

Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik mohon diampun..

Untuk yang akhirnya, patik mohon mengundur diri. Patik terpaksa menulis begini kerana patik pun tak tahu dengan jalan apakah lagi patik dapat bersemuka dengan tuanku untuk bertukar-tukar fikiran dengan pihak istana.

Akhir kalam..mohon tuanku pertimbangkan segala saranan patik dan mohon ampun kalau ada kata-kata yang tidak bersesuaian menurut tatacara laras bahasa istana.

Mohon patik tuanku. Sekian dari patik dan rakan-rakan..

11:27 p.m, 5 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru _

0 comments: