CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Tuesday, August 18, 2009

.::Ramadhan:Nilai Tambah Ibadah Puasa::.

Seperti di sampaikan oleh Al-Fadzil Ustaz Sharil Long dalam kuliah maghrib di Surau Kampung Jawa Butterworth baru-baru ini.

Di samping kita menunaikan ibadah-ibadah khusus sepanjang bulan Ramadhan seperti berpuasa (menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa), menunaikan solat fardhu kita juga yang mana ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t sebanyak 70 kali ganda solat di luar Ramadhan. Manakala ibadah sunat pula diberi ganjaran seperti melakukan ibadah fardhu (wajib). Maka amatlah rugi sekiranya kita hanya sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja tanpa memberikan nilai tambah kepada ibadah puasa kita.

Antara perkara-perkara sunat yang disarankan oleh Al-Fadzil Ustaz Sharil Long adalah seperti berikut:

1. Memperbanyakan solat malam.

Bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w “Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang salih sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan, penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi). Solat Sunat Tarawih juga merupakan sebahagian daripada ibadah solat malam dan disarankan agar kita tambahkan lagi dengan menunaikan solat sunat Tahajjud sebelum kita bersahur moga-moga kita mendapat rahmat dari Allah s.w.t.

2. Memperbanyakan Sedekah.

Bersedekah merupakan satu amalan yang amat-amat dituntut dalam Islam. Maka dalam bulan yanh penuh barakah dan penuh rahmat ini eloklah kita memperbanyakan bersedekah kerana ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada kita amat besar sekali. Antara amalan yang sangat dituntut adalah memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang semisal orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (HR. At Tirmizi)

3.Menunaikan Solat Dhuha.

Solat dhuha merupakan antara solat sunat yang dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Solat Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada waktu dhuha, iaitu pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang lembing atau galah (kira-kira jam 20 minit selepas terbit matahari atau lebih) hinggalah matahari berada tepat di tengah-tengah langit (sebelum menjelang Zuhur).

“Menurut mazhab jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat ini hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sedangkan Imam Abu Hanifah hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.

Justeru, sunah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah ini eloklah dijadikan amalan bertepatan dengan hadis yang bermaksud: Junjunganku tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan daripada bulan Qamariah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan juga supaya aku mengerjakan solat Witir sebelum aku tidur.

Kelebihan

Setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah s.w.t.. Pun begitu, ia mestilah dilengkapi dua syarat utama iaitu ikhlas dan menepati syariat.Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat yang tersendiri. Cuma usah pula hikmah dan fadilat ini yang diutamakan. Dibimbangi ia menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri.

“Namun demikian, terdapat nas-nas hadis nabawi yang menggesa umatnya melakukan amalan solat sunat Dhuha dengan disebutkan fadilatnya bagi menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

“Di antaranya hadis riwayat Abu Dzar bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.

4. Sentiasa Berwuduk

Kita juga disunatkan supaya sentiasa berada di dalam keadaan berwudhu bukan sahaja ketika hendak mengerjakan sembahyang tetapi juga di waktu-waktu lain kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaini wasallam sentiasa di dalam wudhu dan pernah bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa tidur dalam keadaan dirinya berwudhu dan dia mati pada malam itu, maka dia adalah syahid di sisi Allah Ta’ala."

5. Membaca Al-Quran

Oleh itu kita diingatkan agar jangan melupakan al-Quran yang dibaca (diingat atau dihafal) kerana nabi s.a.w pernah bersabda: "Seburuk-buruk orang di antara kamu ialah yang mengatakan,"Aku lupa ayat ini dan itu," tetapi sebenarnya dia melupakannya. Hafallah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu lebih cepat perginya dari dada kaum lelaki daripada unta (yang terikat)." (Syaikhan dan at-Tirmidzi). Rasulullah s.a.w juga telah bersabda: “Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya. Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"Maka berkata al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu: "Adakah kamu al-Quran?" Lalu al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membacanya mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangannya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya. Pada kedua ayah dan ibunya yang muslim pula diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Justeru itu marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah s.w.t dengan menambahkan pahala puasa kita InsyaAllah, dengan kita mencari malam Lailatul Qadr yang dijanjikan dengan kelebihan seribu bulan.

0 comments: