Copy / Paste dari Blog : KEHIDUPAN RINGKAS TAPI SIGNIFIKAN
Saya selalu terfikir, manusia sering sibuk dengan pelbagai gosip dan gambaran tertentu bila ditimpa musibah. Kenapa tidak begitu, kenapa tidak begini? Mari kita berdiam diri, bermuhasabah dan melakukan sesuatu yang sememangnya dijanji Allah.
Bangunlah pada 1/3 malam yang tersisa. Marilah kita bersolat malam, solat hajat dengan penuh keikhlasan dan berterusan. Mohon keampunan Allah, agar Allah melindungi kita, isteri [suami], anak-anak, sanak saudara dan kaum muslimin dan muslimat.
Rasulullah [salawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan sahabat handai] ada bersabda [hadis Qudsi] yang bermaksud:
“Tuhan kita turun ke langit dunia, ketika tinggal 1/3 yang akhir dari waktu malam, lalu menyeru:
Adakah siapa yang mahu berdoa supaya Aku mengabulkannya?
Adakah siapa yang mahu meminta supaya Aku memberi kepadanya?
Adakah siapa yang mahu meminta keampunan supaya Aku mengampuninya?”
Baginda [salawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan sahabat handai] juga bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang salih sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan, penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi)
Di siang hari, marilah kita bersolat berjemaah di masjid, menghampiri Dia dengan cara yang bersungguh-sungguh, lalu kita sujud dan menginsafi dan mengakui tentang kekuasaan dan kehebatan Allah.
Bila lagi? Di kala Allah mengulangi peristiwa-peristiwa yang diceritakan di dalam Al-Quran, manusia masih lagi dengan sifat bongkak, riyak dan tidak menyedari yang Allah boleh menghentikan sesuatu wabak itu dengan sekali perintah sahaja.
Bila lagi? Untuk tidak berasa takut dan gentar dengan dugaan ini dengan meyakini tentang kehebatan dan kekuasaan Allah sebagai penolong dan pembantu yang kekal abadi. Bergeraklah ke arah Dia, semakin hampir kita denganNya, semakin dekat Dia menghampiri kita dengan nur kasih-sayangNya.
Bila lagi? Saya bertanya kepada diri sendiri!
0 comments:
Post a Comment