ana copy paste dari inbox fesbuk ana....
Isu perpaduan Melayu kembali bergema. Kali ini ianya melibatkan usaha golongan agama (mufti) dan kepimpinan UMNO. Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak diambil bagi menyokong usaha perpaduan melayu ini sekaligus seolah-olah sesiapa yang tidak inginkan perpaduan Melayu adalah golongan yang bertindak bertentangan dengan kehendak Islam. Pelbagai ayat Quran dan hadis bergema bagi menyokong usaha ini. Sebagaimana biasa PAS menjadi sasaran bilamana dengan tegas menolak hasrat perpaduan dengan UMNO!
Isu besar ialah apakah untuk perpaduan bangsa atau perpaduan Islam? Kalau perpaduan bangsa kenapa hanya Melayu perlu berpadu, bagaimana bangsa lain dalam negara? Apakah kerajaan suka kalau bangsa lain berpecah yang juga akhirnya melemahkan negara?
PAS menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; “Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”. Lantaran itu PAS lebih rela Melayu berpecah dalam mentaati perintah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah!
PAS tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam yang ditaja oleh UMNO. Mereka sanggup menghalalkan perjudian di atas nama kebajikan dan sukan walhal dengan jelas Islam menyatakan judi itu haram!
Di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat UMNO gagal menjaga bangsa dan agama. Maka janganlah kegagalan ini PAS pula yang dipersalahkan. Lebih 50 tahun UMNO diberi kepercayaan oleh orang Melayu Islam. UMNO membelakangkan soal perpaduan, Kelantan terus ditindas bahkan negeri Pakatan Rakyat terus diserang saban waktu. Tangan kiri menghulur perdamaian, tangan kanan terus menekan dan menindas bangsa sendiri!
Kami tidak mahu memikul pengkhianatan UMNO kepada agama. 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba, rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju. Rakyat miskin terus dibeban dengan kenaikan kos hidup; di waktu yang sama syarikat swasta kroni pemerintah terus menikmati subsidi luas biasa seperti IPP (Independent Power Producers), syarikat konsesi tol tidak dipotong subsidi mereka bahkan pembaziran terus berleluasa.
Di saat negara berada dalam situasi paling buruk dalam sejarah dengan pelbagai isu besar seperti penyerahan Blok L dan M kepada Brunei, tanah KTM di Singapura, isu kemerosotan dana Felda yang mengejutkan, serta pelbagai gejala sosial yang berlaku menuntut rakyat membuat perubahan besar, bukan meminta PAS memikul sama kemungkaran ini
0 comments:
Post a Comment