CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Wednesday, April 8, 2009

.::Akhirnya Kini Pasti::.

La haula wa la quwwata illa billah. Tiadalah upaya dan tiadalah kekuatan melainkan dengan kehendak dan izinNya.

Qulillahumma malikal mulki tu'til mulka man tasya', wa tanzi'ul mulka mimman tasya', wa tu'izzuman tasya', wa tuzillu man tasya', biyadikal khair, innaka 'ala kulli syai in qadiir.

Katakanlah olehmu (wahai Muhammad), ya Allah yang memiliki (segala) kekuasaan, Engkau berikan kuasa kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau mencabut kuasa daripada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau beri kemuliaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki, di sisi Engkau dan daripada Engkaulah segala kebaikan sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Malam ini Allah telah anugerahkan kemenangan kepada kita. Zahir kemenangan itu tertakluk kepada hukum sabab-musabbab ikhtiar kita selama dua bulan khususnya dua minggu terakhir. Hakikatnya kemenangan itu adalah kehendak, ketentuan dan izinNya semata-mata. Tidak bergoyang alis mata kita melainkan dengan kuasa dan keizinanNya. Maka kemenangan malam ini pasti milik Dia sepenuhnya.

Kita cuma menunaikan perintahNya. Mengerah upaya fikir dan laku manusiawi yang semua itu milikNya jua. Kita tidak berhak mengikat kemenangan ini pada kebijaksanaan dan kesungguhan diri kita yang bernama makhluk ini. Halus molekul kimia yang membentuk binaan darah lalu mengalir keluar masuk otak kita adalah hakNya dan tertakluk di bawah IlmuNya. Bijak kita, cuma rembesan IlmuNya yang Maha Mengetahui. Pantas kita, cuma cebisan nano dari Qudrah dan IradahNya yang dipinjamkan olehNya untuk menguji tawadhu' atau takbur hati kita.

Ayuh! serahkan kembali segala kesempurnaan penjana kemenangan ini kepada Tuan yang empunya iaitu Dia. Milik kita ialah silap dan lemah sepanjang menunaikan tanggungjawab mengusahakan kemenangan ini. Hak kita ialah kewajiban bersyukur dan kewajiban bermuhasabah mencari salah dan kurang diri sendiri. Selepas itu lakukan post-mortem secara kolektif untuk menjejak kekurangan dan kelemahan bersama. Langkah seterusnya ialah merumus tindakan menampung yang koyak dan menongkat yang senget. Post-mortem bukan medan menuding jari atau gelanggang memuja diri. Tuding jari dan puja diri adalah hak ekslusif laknatullah gerombolan 'azazil. Na'uzubillah!

Perjalanan kita masih panjang. Tugas kita tak pernah berkurang. Kelemahan kita masih banyak. Sama seperti rakan-rakan seperjuangan yang lain. Lebih kita, di sini. Kurang dia, di situ. Hebat dia, begitu. Lemah kita, begini. Kita bukan Nabi. Dia bukan Wali. Mari kita bina kasih sayang, hormat menghormati, saling membina, menginsafi diri, nasihat menasihati dan sentiasa sedar hanya Dia Zat Yang Maha Sempurna.

Alhamdulillah. Kita sujud syukur malam ini. Tahniah pejuang barisan hadapan. Tahniah pejuang barisan belakang. Tahniah pejuang besar. Tahniah pejuang kecil. Tahniah pejuang terhormat. Tahniah pejuang marhein. Tahniah pejuang berijazah. Tahniah pejuang sekolah atap. Sumbangan anda semua sangat bermakna!

Wassalamualaikum.

sumber:Cyberboron

0 comments: