CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Friday, July 25, 2008

PAS konsisten pertahankan prinsip

Kebelakangan ini kita banyak melihat PAS khasnya melalui Dewan Pemudanya sering melakukan protes sama ada terhadap kerajaan negeri milik bersama Pakatan Rakyat mahupun kerajaan yang diterajui BN. Ianya bukan sesuatu yang baru tetapi lebih kerap kebelakangan ini.

Terbaru Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan nota bantahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung konsert yang melibatkan artis Indonesia kontroversial, Inul, yang dijadual diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Sebelum itu Pejabat Daerah Johor Bharu telah membatalkan konsert yang sama yang sepatutnya diadakan di daerah tersebut 19 Julai lalu. Khabarnya Dewan Pemuda PAS Johor adalah antara yang terlibat membantah program itu.

Mengapa penting sangat kita membantah acara-acara ini, sebagaimana Dewan Pemuda Selangor merasakan penting membantah konsert Ella dan Mas Idayu di Stadium Shah Alam baru-baru ini?

Sudah pastilah ianya kait-mengait dengan asas dan dasar perjuangan kita. PAS adalah sebuah gerakan Islam dan jelas terpahat kukuh Islam sebagai dasarnya dan Islamlah juga tujuan dan matlamat perjuangannya. Lantaran itu terpikullah atas kepala bahu setiap ahli dan pendukungnya, amanah untuk memastikan yang Islam dalam apa keadaan sekalipun diperjuang, dipertahan dan dipelihara.

Allah SWT berfirman:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya. (ali Imran: 104)

Lalu dalam hal ini, PAS lah puak itu, dan tindakan PAS melalui Dewan Pemudanya itu merupakan manifestasi dari pegangan ahli-ahli PAS terhadap ayat ini malah seluruh yang dituntut dan diseru serta dijanjikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan oleh Rasul s.a.w. melalui sunnahnya.

Kerana itu PAS tidak boleh berdiam diri dalam isu-isu kemasyarakatan dan negara khasnya yang melibatkan Islam, nasib dan masa depannya. Isu-isu Islam sama ada yang kecil atau remeh sehinggalah yang besar dan yang berkaitan dengan kenegaraan, hukum dan perundangan akan terus diperjuangkan sebagaimana yang ternukil di dalam perlembagaan parti.

Mungkin ada sesetengah pihak merasakan tindakan PAS membuat bantahan terhadap konsert itu sesuatu yang tidak signifikan. Ternyata mereka ini tidak mengenali PAS. PAS sama ada dalam keadaan ia menang besar atau tinggal satu kerusi parlimen, tanpa satu negeri pun yang ditadbir, tetap konsisten dalam usaha-usahanya. Jika tidak ia seolah menggugurkan prinsip dan dasar perjuangannya yang didukung sejak lebih 50 tahun lalu.

Kerana itu sejarah telah membuktikan PAS, sama ada dalam keadaan bersendirian atau bertahaluf dengan pihak lain, tidak pernah sekali-kali bersetuju atau bersedia menggadaikan prinsipnya kerana kemahuan kawan atau tuntutan kuasa. Dalam apa keadaan pun redha Allah adalah lebih penting dari redha manusia dan populariti. Inilah dasar yang dipertahankan oleh para pengasas kita, membawa ke zaman Almarhum Dr Burhanuddin, Almarhum Prof Zulkifli, sehingga ada yang keluar masuk penjara, tercedera hatta syahid di Memali.

Kerana itu PAS akan terus berjalan sama ada bersendirian atau berkongsi kuasa bagi menerokai jalan untuk memungkinkan Islam mendapat ruang dan peluang untuk dilaksana dan dinobatkan. Sesiapa sahaja yang membuka ruang dan peluang itu akan menjadi rakan PAS dan sesiapa sahaja yang mengekang atau menghalangnya akan ditinggalkan oleh PAS.

Kita mahu melihat 50 tahun berikutnya, PAS menempuh era baru dimana dasar dan perjuangannya diberi pengiktirafan dan dihormati serta diterima oleh semua. Itulah perjuangan kita dahulu dan itulah perjuangan kita insya Allah sampai bila-bila.

0 comments: