Kita mulakan dengan sejarahnya. Sebahagian besar adalah dari rujukan buku "Hudud Hukum dan Perlaksanaan" oleh Prof Madya Datin Dr. Paizah Hj. Ismail terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd. Ianya amat sesuai sebagai satu bahan rujukan terutamanya kepada mereka yang suka bercakap tentang Hudud tetapi hanya sedikit sahaja pengetahuan tentangnya. Maka hasilnya lebih banyak mengelirukan terutama yang kurang faham tentang hukum hakam Agama Islam dan menyebabkan orang bukan islam emandang dari sudut yang negatif.
Sebelum kedatangan Islam, undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia (Tanah Melayu) ialah undang-undang adat Melayu yang kuat dipengaruhi oleh unsur-unsur hindu dan animisme. Apabila kedatangan Islam, undang-undang tersebut diubahsuai dengan memasukan unsur-unsur Islam dari masa ke masa. Catatan terawal berkaitan perlaksanaan undang-undang Islam ini adalah apa yang dicatatkan pada Batu Bersurat yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu pada 1898.
Inskripsi tersebut dipercayai bertarikh bertarikh 17 Rejab 702H bersamaan 22 Februari 1303. Antara catatannya adalah berhubung kesalahan zina dan hukumannya.
Pada Batu Bersurat tersebut tercatat "Orang berbuat balacara lelaki perempuan setitik Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang perlu seratus rotan. Jika merdeka beristeri atau perempuan bersuami ditanam hingga pinggang dikembalang dengan batu matikan".
Kemudian muncul pula Undang-Undang Melaka yang ditulis pada sekitar 1523-1524, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Walaupun pada asasnya undang-undang tersebut adalah undang-undang adat namun pengaruh Islam jelas dan ketara sekali. Selain mengandungi ungkapan-ungkapan berasaskan Islam seperti "Hukum Allah" dan sebagainya, peruntukan-peruntukan yang terdapat didalamnya jelas sama dengan apa yang terdapat dalam kitab-kitab Feqah.
Seperti juga Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Pahang ditulis pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghafar Muhyiddin Shah (1592-1616), Undang Undang Johor pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Al-Ghazi bin Abdul Jalil Shah (1203), begitu juga dengan Undang-Undang Kedah (1211) diikuti dengan undang-undang Negeri Sembilan dan Perak. Semuanya terdapat peruntukan-peruntukan kesalahan Hudud.
Ini telah menunujukan bahawa undang-undang Islam telah dilaksanakan dan diterima pakai di negara ini. Sama ada dilaksanakan sepenuhnya atau sebaliknya bukanlah persoalannya. Apa yang penting ia telah diterima oleh pemerintah dan dan rakyat demi kebaikan bersama.
Segalanya berubah apabila kita mula dijajah, bermula dengan Portugis pada 1511 dan berakhir dengan Inggeris pada 1957 undang-undang tersebut telah turut dijajah dan digubah mengikut selera penjajah.
Inggeris telah menubuhkan Mahkamah-mahkamah Inggeris mengikut sistem kehakiman Inggeris. Hakim-hakimnya terdiri daripada orang-orang Inggeris dan dibantu oleh beberapa pembesar Melayu. pada 1937 satu enakmen yang dikenali sebagai Undang-Undang Sivil 1937 telah digubal dan kemudianya diperluas melalui undang-undang sivil 1951 dan dipakai di seluruh Tanah Melayu selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.
Akhirnya pihak Inggeris berjaya menyisihkan kedudukan undang-undang Islam yang dulunya undang-undang negara tetapi akhirnya ianya terbatas kepada hal berkaitan nikah cerai dan seumpamanya yang ditadbir oleh mahkamah kadi atau disebut dengan Mahkamah Syariah dalam bidang kuasa yang teramat sempit.
Itulah rentetan sejarah yang dikutip dari buku karangan Prof Madya Datin Dr. Paizah Hj. Ismail. Pas, sebagai parti Islam berusaha untuk memperkasakan semula undang-undang Islam yang pernah diamalkan dinegara ini dan diterima oleh pemerintah dan rakyat.
Umno pula disamping tidak melafazkan memperjuangkan undang-undang Islam sentiasa dilihat seolah-olah mempertahankan sistem perundangan yang dibawa oleh penjajah sekali gus menolak usaha Pas melaksanakan Hudud.
SALAHKAH PAS MEMPERJUANGKAN HUDUD.......
0 comments:
Post a Comment