CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Friday, February 27, 2009

.::I'm back::.

Dah agak lama ana tak update blog ini. Nak kata sibuk tidaklah sibuk sangat tapi mungkin kerana keterbatasan masa dan notebook ana pulak ada masalah sikit antara sebab ana lama tidak menulis.


Hari ini ana berkesempatan untuk kembali menulis. Sepanjang tempoh 2 minggu yang lalu negara kita yang kita cintai yang pada zahirnya nampak aman dan makmur jika dibandingkan dengan negara-negara lain sperti di Palestin, Sri Lanka, Thailand dan beberapa negara di Eropah namun pada hakikatnya tidaklah sepertimana yang di war-warkan oleh pucuk pimpinan negara.

Pelbagai krisis dalaman yang berlaku akhir-akhir ini jika kita renungkan dalam-dalam sebenarnya negara kita juga tidaklah begitu aman sebenarnya. Kita sekarang ini dilanda pelbagai krisis dalam negara. Bukan sekadar krisis kewangan global dan pemberhentian pekerja sahaja yang berlaku, tetapi krisis politik, krisis kepimpinan, krisis PPSMI serta krisis budaya dan sosial yang semakin meruncing.

Hairan
Memang hairan juga ana bila beberapa hari lepas kerajaan Malaysia telah mengumumkan bantuan RM 10 juta kepada Australia kerana negara itu ditimpa musibah kebakaran yang dasyat. Baguslah kerana kita tolong menolong sesama insan tapi yang hairannya mengapa begitu cepat dan mudah kita menghulurkan bantuan kepada Australia sedangkan bantuan untuk saudara seagama kita di Palestin kerajaan kumpul dana dari rakyat untuk membantu mereka di sana. Ramai lagi saudara kita yang masih memerlukan bantuan kita seperti umat Islam di Kashmir, Selatan Thailand, di Filipina, di Rusia dsb.

Saturday, February 7, 2009

.::Kecewa:Marah:Silap::.

Tanpa diduga, tapuk pimpinan negeri Perak bertukar tangan. Saya yg berada di Pulau Pinang pun terasa bahangnya (maklumlah anak Perak). Kerana di pejabat tiada tv maka aku gunakan kemudahan internet untuk mendapatkan perkembangan terkini apa yang berlaku di Perak. Dari sumber yang diperolehi suasana memang tegang.

Saya bukan mahu bercerita atau melaporkan apa yang berlaku di sana cuma sekadar ingin memberikan pandangan berkaitan suasana tegang di sana.


Suasana di Perak khususnya di Kuala Kangsar memang tegang sehingga pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan dilaporkan juga polis turut menggunakan 'water canon' bagi meredakan keadaan. Persoalannya wajarkah pihak polis menggunakan gas pemedih mata dan 'water canon' bagi menyuraikan para penyokong Dato' Seri Nizar. Yang kedua, wajarkah para penyokong Dato' Seri Nizar berhimpun di Kuala Kangsar bagi menghalang proses angkat sumpah MB Perak yang baru?

Jika tindakan berdasarkan kemarahan memanglah tindakan tersebut dikira wajar. Mungkin ini adalah caranya untuk menunjukan ketidakpuasan hati. Namun adakah ianya berbaloi? Namun adakah dapat menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat? Jawapannya adalah segalanya menjadi semakin sukar dan semakin sulit. Dalam hal ini yang rugi pada pandangan saya adalah Parti PAS sendiri. lihat sahaja propaganda yang dimainkan di media2 milik BN jelas sekali wajah-wajah lelaki yang berkopiah putih yang cukup sinonim dengan identiti PAS dan juga para muslimat yang bertudung labuh. Apa perspektif masyarakat yang melihat paparan demi paparan di media berhubung tindakan para penyokong Kerajaan PR yang saya percaya rata-rata yang hadir semalam adalah dikalangan penyokong PAS. Mana penyokong DAP? Dan tanggapan masyarakat luar pasti Penyokong PAS telah biadab serta derhaka pada Sultan, Siapa penyokong PAS? Jawapanya majoritinya berbangsa Melayu dan semuanya beragama Islam. Adakah cara ini akan menaikan taraf bangsa Melayu dan Agama Islam khususnya?

Memang tidak dinafikan bahawa setiap manusia ada tahap kesabarannya. Dan pastinya bila marah menguasai diri kita kadang kala bertindak di luar kawalan kita.

Sabda Nabi, “Orang yang kuat ialah orang yang mampu menahan marah.” Orang yang marah, jiwanya ditakluk Iblis. Kehambaan kepada Allah beralih kepada Iblis. Sebab itu, lebih binasalah jika pemimpin marah berbanding rakyat bawahan.


Pemimpin yang marah, rakyatnya binasa, negaranya tergadai seperti diperkatakan orang, “Menang sorak, kampung tergadai”. Adapun sekalian hamba rakyat, kalau mereka marah sekalipun maka marahnya itu kerana mereka mahu menuntutnya haknya. Tidaklah lebih dari itu. Ringkasnya, jika tidak mampu menahan marah, jangan memasang anganan untuk memimpin. Dunia sudah lama kiamat jika Tuhan tidak bersabar dengan dosa kita.


Bersabarlah kerana sabar itu sebahagian daripada iman. Ingatlah ini baru cuma sedikit sahaja ujian dari Allah s.w.t untuk menguji umatnya. Betulkan saya andai saya silap...

Friday, February 6, 2009

.::Surat terbuka kepada Istana Kinta::.

Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun..

Pertamanya, patik minta ampun jika bahasa pertuturan patik ini tidak mengikuti susunan bahasa istana.

Baru-baru ini, sebagai yang termaklum, sudah pun wujud kerajaan baru di Perak. Dan banyak juga rungutan yang ditemukan dalam blog dan internet. Samada yang menyokong atau yang menyanggah, maka kita boleh sama-sama fikirkan.

Patik serta rakan-rakan dalam kalangan rakyat biasa yang tidak banyak mencapai apa-apa maklumat, ingin menyuarakan pandangan kepada tuanku berhubung hal ini.

Pertamanya marilah ditelusuri perkataan pacal Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi berhubung lompat parti. Pacal Abdullah ketika menjawab isu mengenai lompat parti pada 16 September yang tak berlaku itu, beliau kerap menyatakan bahawa ahli Parlimen yang mahu melompat itu sebagai mengkhianati pengundi dan rakyat.

Pada pandangan pacal itu, rakyat telah mengundi seseorang ahli Parlimen atas nama parti. Jadi, jika seseorang ahli Parlimen dengan tiba-tiba melompat ke parti lain, maka dia telah mengkhianati rakyat dan pengundi yang mengundinya sebelum ini.

Itulah pandangan pacal Abdullah berhubung ura-ura ahli Parlimen yang kononnya bakal melompat daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat itu. Namun, hal itu tidaklah berlaku buat masa sekarang ini.

Tiba-tiba, berlakulah lompatan parti daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional di Perak baru-baru ini. Patik dan rakan-rakan memasang telinga kalau-kalau pacal Abdullah marahkan ahli Dewan Undangan Negeri PR yang melompat ke dalam BN.

Rupanya, 'fatwa' itu cuma sah bagi kes-kes ahli Parlimen / Dun BN yang berhijrah ke PR. Kalau penghijrahan itu melibatkan ahli Parlimen / Dun PR ke BN, maka tidak timbul lagi isu-isu seperti mengkhianati rakyat dan pengundi.

Awal-awal lagi pacal Perdana Menteri telah menunjukkan sikap berat sebelah, memihak dan tidak jujur dalam percakapannya. Kalau pacal Abdullah itu jujur dan ikhlas, maka dia juga patut marahkan penghijrahan daripada PR ke BN itu.

Ini tidak..pacal itu tersenyum gembira tanpa menyedari bahawa dia telah berlaku tak jujur dengan pandangannya sendiri.

Patik berpandangan, kalau kita mahu jujur dan ikhlas dalam hal ini, kita perlulah bertanya juga kepada para pengundi dan rakyat Behrang dan lain-lain kawasan undian sebelum ini. Kita mesti bertanya, apakah mereka merelakan penghijrahan tersebut?

Apakah jalannya untuk memudahkan kita merekodkan kerelaan rakyat dan pengundi itu? Ini sememangnya tugas yang berat juga. Tapi, berbaloi juga kalau kita membuang banyak masa dan tenaga bagi memastikan rakyat dan para pengundi itu berpuas hati.

Kalau patik di tempat pengundi di kawasan tersebut, patik sendiri tak berpuas hati dengan hal itu. Patik anti ISA, anti PPSMI dan patik juga anti Auku. Maka, patik akan mengundi wakil parti yang berjuang ke arah memansuhkan ISA, Auku dan PPSMI itu.

Maka, tiba-tiba Adun dan Ahli Parlimen itu beralih arah serta hala tujuannya kepada parti yang mengesahkan Auku, ISA dan PPSMI. Adakah pacal Abdullah tak terfikirkan hal ini sebelum ini? Cuma ada satu jawapan.. Abdullah tak jujur dengan ucapannya sendiri.

Kalau dia terlupa, maka dia boleh diingatkan. Tapi, setelah dia diingatkan, maka terpaksa pula pacal Abdullah mencari helah lain pula guna membatalkan fatwanya yang lalu.

Pungutan suara
Maka, patik ingin mencadangkan kepada pihak tuanku agar dapat mempertimbang hal ini dengan akal bijaksana pihak istana. Iaitu kita perlu mengadakan pungutan suara agar kita dapat pastikan bahawa rakyat dan pengundi di bawah negeri naungan tuanku benar-benar rela dengan penghijrahan tersebut.

Rakyat Perak telah beratur sepanjang hari dan ada kalangan rakyat yang pulang kampung halaman semata-mata untuk memilih calon-calon yang diharapkan dapat membawa suatu perubahan ke negeri ini. Jadi, mereka berhak diambil pandangan juga.

Amalan pungutan bukanlah satu hal yang asing dalam negara kita. Tak silap patik, ketika Semenanjung Tanah Melayu ini mahu bergabung dengan Sabah dan Sarawak, maka telah pun kita melaksanakan kaedah ini.

Hal bagaimana kita mahu melaksanakan semula, berapakah tenaga kerja yang diperlukan dan lain-lain perkiraan dan perhitungan, semua itu boleh kita bahaskan kemudian. Undi rakyat mewakili hati, jiwa dan perasaan rakyat. Maka, mereka perlu dihormati.

Dengan undi, Adun dan Parlimen kita dinaikkan dan boleh diturunkan. Tapi, jika mereka mahu menyeberang, berhijrah ke parti lain, mengapakah undi rakyat tidak dibangkitkan? Pacal Abdullah sepatutnya peka ke atas hal ini, kerana ini adalah ucapannya sendiri.

Ampun tuanku.. Sembah patik mohon diampun..

Pergelutan dalam kuasa-kuasa pembesar politik bukan perkara baru. Sejak era Kesultanan Melayu Melaka, kita terbaca bagaimana Hang Tuah dicemburui dan dikhianti, bagaimana Hang Nadim, si cilik dengan akal pintarnya berjaya mematahkan serangan todak ke atas Singapura dibunuh dengan kejamnya akibat hasutan pembesar istana.

Pergelutan antara pembesar ini sangat dahsyat. Patik serta rakan-rakan harap pihak istana dapat pastikan riwayat suram dan hikayat gelap di dalam lipatan sirah perjuangan bangsa Melayu ini tidak berulang lagi.

Sebenarnya, patik rasa berat juga mahu menuliskan hal ini. Tapi, oleh kerana hal ini amat mustahak, maka patik gagahi juga menulisnya. Hal ini terkait dengan PPSMI.

Untuk pengetahuan tuanku.. Dato' Seri Nizar dan rakan-rakannya adalah antara mereka yang terawal membantah amalan PPSMI lewat jalan perundangan. Mereka mahu saman kerajaan persekutuan dalam hal ini. Tetapi, isu ini tenggelam timbul.

Ada riwayat menyatakan bahawa pihak eksekutif mempengaruhi mahkamah supaya tidak memanjangkan isu ini. Dan, ada pelbagai qaul serta pendapat lain yang boleh kita dengar. Tapi, untuk kesahihannya, kita perlu teliti dan siasat sendiri.

Barangkali, patik antara orang yang telah menemuramah beliau menerusi mel-e di sebuah akhbar politik ketika beliau dan anak-anaknya sedang berusaha keras membawa kes itu ke mahkamah. Patik masih menyimpan mel-e tersebut.

Bukanlah niat patik mahu mengungkit kenangan lama untuk mengangkat seseorang. Tapi apabila keadaan memaksa, maka sesiapa pun mesti cuba menyatakan keadaan sebenarnya tanpa rasa bimbang dan takut-takut lagi.

Sejak beliau diangkat sebagai Menteri Besar Perak, selalu perasaan ini menyelinap dalam hati patik dan patik tidak pernah beritahu sesiapa pun. Iaitu, seseorang itu akan terangkat darjat dan makamnya apabila dia telah membuat suatu amalan yang besar.

Semak kisah Talut dan Daud. Apabila dalam sebuah peperangan yang sengit, Daud yang masih kecil telah berjaya membunuh Jalut. Amalan dan kejayaannya membunuh Jalut itu, pada akhirnya membuatkan makam dan darjatnya terangkat sebagai raja Bani Israel.

Demikianlah juga dalam kes bekas MB Perak ini, beliau tentu ada sesuatu amalan dahulu yang menyebabkan Tuhan mengangkatnya. Bahasa Melayu adalah bahasa keramat, mulia kerana ia dimuliakan Tuhan sebagai bahasa dakwah Islam di rantau Nusantara.

Khutbah-khutbah Jumaat dan pendakwah terawal telah mempelajari bahawa Melayu bagi tujuan mengembangkan agama Islam di negara ini. Maka siapa saja yang berjuang untuk mengembalikan martabat bahasa, maka makam dan darjatnya akan terjulang!

Jatuh PR, berkuasalah PPSMI!
Kejatuhan Pakatan Rakyat adalah jatuhnya usaha memansuhkan PPSMI. Dan menangnya Barisan Nasional bererti, akan bertambahlah tenaga kekuatan baru untuk mencalar bahasa Melayu sebagai bahasa dakwah, bahasa ilmu dan bahasa pencerahan di negara ini.

Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik mohon diampun..

Untuk yang akhirnya, patik mohon mengundur diri. Patik terpaksa menulis begini kerana patik pun tak tahu dengan jalan apakah lagi patik dapat bersemuka dengan tuanku untuk bertukar-tukar fikiran dengan pihak istana.

Akhir kalam..mohon tuanku pertimbangkan segala saranan patik dan mohon ampun kalau ada kata-kata yang tidak bersesuaian menurut tatacara laras bahasa istana.

Mohon patik tuanku. Sekian dari patik dan rakan-rakan..

11:27 p.m, 5 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru _

.::Rakaman Sidang Media bersama Menteri Besar Perak::.

.::Kerajaan PR tumbang di Perak::.

Belumpun sempat merayakan ulangtahun pertamanya hari ini kerajaan Pakatan Rakyat terpaksa turun dari takhta. Tanpa sebarang petanda tiba-tiba dlm sekelip mata kini PR pula dah jadi pembangkang.


Dari pandangan saya yang bukan ahli politik (sekadar memerhati), tragedi yang melanda kerajaan PR adalah satu peringatan dan ujian oleh Allah s.w.t. Kepada pemimpin PR, terimalah ketentuan ini dengan redha dan tak perlulah menuding jari kepada mana pihak atas tragedi yg menimpa, mungkin ada rahmat dari kegagalan ini.

Kepada tapuk pimpinan BN yg bakal menerajui negeri, jgnlah anda terlalu angkuh dengan kejayaan menawan semula Perak. Dalam dewan sememangnya anda berjaya memerintah negeri tapi adakah rakyat gembira dengan kejayaan anda... Janganlah lupa untuk terus berbakti kepada rakyat dan buktikanlah anda mmg layak mentadbir negeri.


Kepada Pakatan Rakyat khusus PAS, haruslah muhasabah diri, mencari kesilapan lalu dan cuba perbaiki. Tempoh memerintah Perak 11 bulan lebih, cukup buat pimpinan PAS Perak melihat ianya satu pengajaran yg berguna bagi menghadapi PRU 13 nanti.


Kekalahan / kegagalan hari ini bukan bermakna tiada kejayaan hari esok. Ayuh sekarang bukanlah masanya untuk meratapi kegagalan tapi masa untuk bangkit bagi menghadapi cabaran yg lebih besar.


Kepada para penyokong PR khususnya PAS janganlah pula terlalu berdukacita hingga berdendam dengan para penyokong BN khususnya UMNO. Terimalah segalanya dengan hati terbuka, pastinya ada sinar di hujung jalan.

Tibalah masanya untuk kita meneruskan kempen perjuangan utk membentuk kerajaan. Kini masanya untuk kita mendekati para pengundi supaya mereka tetap bersama kita. Janganlah dibiarkan pihak musuh mengambil kesempatan ini menarik mereka kembali menyokong perjuangan mereka. Kepada para pemimpin teruslah memberi perkhimatan anda di kawasan anda walaupun kini kita adalah pembangkang namun percayalah segala kebaikan yang kIta semai insyaallah akan dapat ditunaikan hasilnya...


miezanz ~ dalam feri dr p.pinang ke butterworth...

Thursday, February 5, 2009

Kepada semua Rakyat Negeri Perak...
(Yang sayangkan Pemerintahan Pakatan Rakyat)

Marilah kita sama memohon agar Ke bawah Duli Tuanku Sultan memperkenankan diadakan pilihanraya kecil DUN.

Sila panjangkan harapan dan impian anda dengan menulis di dalam guestbook Baginda.

(klik icon di bawah utk ke guestbook)

Wednesday, February 4, 2009

.::Antara Sikh dan pelajar pondok : siapa lebai!::.

KES pelajar pondok disaman kerana menunggang motosikal dengan berserban menarik perhatian umum.

Ahmad Nasir Darus, pelajar Pondok Pasir Tumboh dikatakan melakukan kesalahan tersebut pada 20 September 2007 di Jalan Pasir Tumboh dan dihadapkan ke mahkamah pada 4 November 2007.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama dengan Seksyen 128(1) akta yang sama. Bagaimanapun Ahmad Nasir membuat pengakuan tidak bersalah. Dan keputusannya dibaca 19 Januari lalu.

Namun melalui prosiding tersebut mahkamah mendapati Ahmad Nasir yang diwakili peguambela, Ahmad Rizal Effandi Zainol, gagal membuktikan keraguan yang munasabah mengesahkan bahawa Ahmad Nasir seorang lebai.

Keadaan itu menyebabkan beliau disabit bersalah dan dikena hukuman dua hari penjara atau denda RM90.

Apa yang menarik Ahmad Nasir sanggup memilih hukuman penjara daripada membayar denda sebanyak RM90 kerana menganggap mempertahankan sunah Rasulullah saw.

Maka apa kaitan lebai dalam kes ini? Lebai merupakan satu perbendaharaan mustahil boleh ditafsir secara objektif apatah jika menjurus pada sifat rohani seseorang.

Dengan kata lain hanya Allah sahaja punya kuasa mengiktiraf sifat itu pada makhluknya.

Berbeza dengan sunah. Sunah adalah amalan, peraturan atau adat yang berdasarkan perbuatan dan perkataan Rasulullah saw. Ia boleh dilihat serta didengar sama ada dalam kontek moral, spiritual dan sosial.

Pun begitu, keputusan mahkamah adalah muktamad. Majistret tidak boleh dipersalahkan. Tanggungjawabnya berdasarkan fakta dan perundangan sedia ada.

Sikh boleh berserban

Sebab itu kita cuba merungkai satu persoalan kenapa masyarakat keturunan Sikh yang memakai serban boleh dikecualikan daripada undang-undang berkenaan?

Dari sudut mana tafsiran lebai dilihat apabila dikaitkan dengan kes ini. Agak keliru pertembungan dua keadaan hampir sama tiba-tiba masyarakat yang cuba mewarisi sunah Rasulullah saw tidak dikecualikan daripada peraturan itu dalam sebuah negara dikatakan Islam.

Justeru amat wajar sekiranya kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk dijadikan bahan akademik dan rujukan memandangkan terdapat kesamaran istilah lebai dalam peruntukan undang-undang.

Dan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk berbincang dengan Jabatan Peguam Negara bagi membuat penafsiran semula undang-undang berkaitan tidak boleh dilengah-lengahkan.

Dalam situasi sekarang agama seperti dipersenda, undang-undang rekaan manusia didaulatkan.

SUMBER: HARAKAHDAILY.

Tuesday, February 3, 2009

.::Tazkirah : Benarkah kita berada di zaman yang penuh dengan pelbagai fitnah? ::.

Sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah).

Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam salah satu hdinya yang bermaksud : "Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia di waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah, seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit." Hadis Sohih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripada Abu Hurairah.

Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara, sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.

Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu 'ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafiq, ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.

Jenis-jenis fitnah terhadap agama Islam

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

5- Fitnah melalui penulisan.

6- Fitnah melalui iklan produk.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia. Fitnah..oh fitnah..dan banyak lagi.

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah 'Negara Islam', sedangkan pada masa mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain.

Yang tidak menampakkan Islam secara jelas, isteri-isteri mereka tidak memakai hijab (tudung kepala) serta menutup aurat dengan sempurna, tidakkah tindakan mereka itu telah memfitnah Islam secara langsung di hadapan orang-orang bukan Islam yang keliru dan terus keliru.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

Tidak kurang juga terdapat golongan ahli ilmu agama ketika sedang menuntut satu ketika dahulu, telah menanam hasrat untuk lulus cemerlang agar pulang nanti ditawarkan jawatan yang selesa, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa ketika menyandang jawatan penting di jabatan keagamaan, mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, membiarkan perkara mungkar terus berlaku (takut nak tegur kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain).

Tidak cukup dengan itu, idea untuk menyatakan perkara-perkara makruf agar jadi program utama pun terkadang-kadang tidak berani untuk dilakukan, bimbang dilabel golongan yang melawan pihak atasan, akhirnya masyarakat jadi keliru kerana golongan ahli agama pun bercakap tidak serupa bikin.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

Disebabkan kerana kurang pendedahan maklumat agama, sama ada tidak mahu duduk dalam majlis ilmu agama atau ceramah, maka ramai di kalangan orang Islam dalam negara Malaysia ini memperlihatkan penampilan diri mereka benar-benar tidak Islamik langsung.

Ada di kalangan golongan remaja Islam yang bertatoo, menampakkan pusat (perempuan), bergelang tangan, berantai dan bertindik (yang lelaki), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu, yang perempuan menyerupai lelaki atau yang lelaki menyerupai perempuan.

Cara bercakap seperti orang bukan Islam, berlepak, merempit tanpa hala tuju hidup, mendurhaka dan melukai perasaan kepada ibu bapa, menyakiti jiran dan banyak, tidakkah semua tindakan itu fitnah terhadap Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya berbuat demikian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

Terdapat di kalangan orang Islam yang memfitnah Islam dengan ungkapan mereka seperti kata-kata : Islam tidak relevan pada zaman orang mengejar Sains dan Teknologi, undang-undang Islam seperti hudud, qisas, takzir dan lain-lain sudah tidak sesuai pada hari ini, ia hanya boleh dilaksanakan di padang pasir di zaman Rasulullah s.a.w.

5- Fitnah melalui penulisan.

Terdapat juga segelintir penulis yang pro aliran songsang yang memperlekeh hukum-hukum Islam dalam blog, rencana atau buku-buku tulisan mereka, ia disifatkan sebagai satu tindakan berani kerana mereka tahu bahawa tindakan itu tidak akan dikenakan apa-apa.

6- Fitnah melalui iklan produk.

Satu lagi fitnah yang tidak dapat dikawal akibat kelemahan para pemimpin negara ialah kecenderung syarikat-syarikat mempromosi produk mereka dengan menggunakan khidmat model-model Melayu/Islam, ada yang mendedahkan aurat, kepala semata-mata untuk menunjukkan bahawa produk mereka cukup berkesan tiada tompok-tompok hitam di badan model.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

Para atlet negara termasuk yang angkat berat disertai atlet muslimah yang cukup menggiurkan ketika menunjukkan aksi mengangkat berta, termauk dalam sukan jimrama, renang, hoki dan lain-lain.

Begitu juga pendedahan aurat di kalangan penghibur seperti penyanyi, pelakon, pelawak wanita juga tidak kurang yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan jenama mereka sebagai orang Islam. Semua itu dianggap memfitnah Islam kerana menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan tindakan itu.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

Satu lagi fitnah di akhir zaman ini ialah terlalu berbangga dengan bilangan masjid yang banyak, tetapi kosong dengan pengajian agama, malah terdapat pula replica masjid yang menelan blanja jutaan ringgit tetapi tidak boleh solat Jumaat di dalamnya.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

Ramai di kalangan pekerja Islam, bukan yang menceburi bidang binaan, yang bekerja dalam bilik berhawa dingin pun tidak melakukan solat fardu atau Jumaat, terdapat scenario di mana ada pekerja muslim di sebuah kilang ditegur majikan yang bukan Islam mengapa mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.

Disebabkan tidak menguasai dengan baik ilmu-ilmu fardu 'ain, maka ramai di kalangan individu Islam tidak bercakap benar, melakukan pecah amanah berjuta ringgit, rasuah, penipuan, menggelapkan wang tabung haji dan sebagainya, menunjukkan sikap dan akhlak orang Islam sangat kritikal, sekali gus ia memfitnah agama Islam yang suci.

Sesungguhnya mereka itu semua berdosa di hadapan Allah kerana tidak menunjukkan sesuatu tindakan yang baik terutama kepada golongan yang lebih muda ataupun di kalangan bukan Islam yang merasakan Islam menjana kegiatan yang tidak bermoral.

Justeru, asas kepada pengukuhan jati diri muslim bersama agama Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika Islam berada di puncak atau sedang berada di bawah, namun dia tidak akan berganjak walau setapak pun kerana begitu yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui benar di sisi Allah SWT.