CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Tuesday, October 7, 2008

.::Keutamaan Puasa Enam Hari di Bulan Syawal::.

MARILAH kita tanamkan sifat takwa kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, dengan cara dan jalan ini kita akan selamat dan berbahagia di dunia mahupun di akhirat iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala apa-apa jua larangan-Nya. 
Sesudah mengharungi pelbagai dugaan pada bulan Ramadan dan berjaya menjalankan ibadat puasa, umat Islam sekali lagi diberikan peluang merebut ganjaran pada bulan kemenangan, iaitu di bulan Syawal ini dengan satu lagi peluang yang tidak harus dilepaskan begitu sahaja untuk menambahkan pahala dan keberkatan di dunia iaitu dengan berpuasa enam. 

Di dalam bulan Syawal ini mengandungi beberapa keistimewaan yang dituntut oleh Islam supaya melakukannya.Terutama sekali puasa enam iaitu berpuasa enam hari di bulan Syawal. Berhubung hal ini hadis ada menerangkan yang bermaksud dari Abu Ayub An-Ansari Radiallahuanhu, 

Rasulullah SAW bersabda : 

"Barang siapa berpuasa bulan Ramadan, kemudian ia berpuasa pula enam hari pada bulan Syawal adalah seperti berpuasa sepanjang masa." 

Satu keistimewaan yang difahami dari sabda Rasulullah SAW itu ialah satu kebajikan dan peluang yang paling berharga disediakan kepada orang-orang yang mengejar nikmat dan kemurahan Allah SWT sepanjang hidup terdapat pula di bulan Syawal iaitu puasa enam hari di dalamnya. 

Ganjaran pahala diberikan oleh Allah Taala kepada mereka yang berpuasa enam di bulan Syawal ini ialah seperti ganjaran pahala kepada yang berpuasa sepanjang masa. Ganjaran yang begitu tinggi nilainya diberikan Allah SWT pada puasa ini dapatkan difahamkan kerana kebanyakan manusia tidak dapat melakukannya. Ini adalah berkait rapat dengan keadaan keliling yang lebih mencabar keimanan seseorang yang menunaikan puasa di waktu kemeriahan Hari Raya terhidang jamuan makanan yang enak-enak dan lazat ketika itu dan kerana pada masa itu sebahagian umat Islam tidak berpuasa dan ingin terus menikmati kuih-muih yang ada. 

Hanya sebahagian kecil sahaja yang masih melakukan ibadat puasa. Dengan ini seseorang yang berpuasa enam akan menghadapi persaingan hebat dengan suasana dan keadaan di masa itu yang benar-benar mencabar akan keimanannya dalam menahan hawa nafsu. 

Oleh yang demikian sudah sewajarnya mendapat pahala yang besar dan tinggi di sisi Allah Subhanahu Wataala bagi mereka yang berjaya menyahut cabaran ini. Dari itu marilah kita sama-sama mengejar ganjaran pahala yang amat besar itu, kerana peluang ini hanya terdapat di bulan Syawal. 

Berpuasa selama enam hari di bulan Syawal adalah sebagai petanda betapa seseorang itu telah meningkat iman dan takwanya kepada Allah SWT hingga sanggup berlapar dan dahaga semata-mata kerana taat kepada agama, pada hal orang lain menikmati aneka makanan dan juadah serta minuman yang lazat. 

Melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini sebaik-baiknya dimulakan pada Hari Raya kedua dan berturut-turut,tetapi jika tidak dapat berbuat demikian, boleh juga dilakukan bila-bila masa asalkan masih dalam bulan Syawal dan boleh dengan tidak berturut-turut asalkan berjumlah enam hari. 

Di antara kelebihan-kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal itu ialah : 

1. Puasa enam umpama sunat rawatib sesudah salat fardu bagi menampung kekurangan puasa fardu. 

2. Mengulangi puasa sesudah Ramadan menjadi tanda diterima puasa Ramadan yang kita kerjakan. 

3. Sebagai tanda bersyukur kepada nikmat yang diberikan di bulan Ramadan seperti nikmat kesihatan tubuh badan yang baik, ganjaran pahala yang berlipat ganda, Malam Lailatulqadar, ganjaran bersahur, berbuka puasa dan banyak lagi. 

4. Mendapat kebaikan berlipat ganda serta diangkat darjatnya. 

5. Memudahkan Malaikat Al-Maut mencabut nyawa. 

Oleh yang demikian marilah kita merebut peluang yang ada dan mengerjakan puasa enam demi mendapatkan fadilat-fadilat yang ditetapkan Allah padanya serta inginkan keredaan-Nya jua. 

Firman Allah dalam Surah Al-An'aam ayat 16 yang tafsirnya : "Barang siapa membawa amal yang baik maka baginya pahala sepuluh kali lipat amalnya dan barangsiapa yang membawa perbuatan yang jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan)." 

0 comments: