CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Friday, October 2, 2009

.::Syawal: SIS dan JAG memang sudah melampau::.

1. Tindakan Sister In Islam [SIS] dan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina [JAG] semakin berani mencabar keputusan mahkamah Syariah berhubung isu sebat ke atas Kartika Dewi yang mengaku bersalah minum arak.

2. Biarpun hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah iaitu 6 sebatan dan denda sebanyak RM 5,000 tidaklah sepenuhnya menepati hukum syara' tetapi sekurang - kurangnya ia membawa semangat perlaksanaan undang - undfang syariah dalam negara ini .
3. Jika 6 sebatan sahaja dibantah dan ditentang habis - habisan oleh SIS dan JAG , saya tidak dapat gambarkan bagaimana mereka mahu bertindak jika negara ini benar - benar melaksanakan hukum syara' iaitu antara 40 ke 80 kali sebat bagi mereka yang sabit bersalah meminum arak .
4. Jelasnya SIS dan JAG menggunakan hujjah kononnya hukuman itu kejam , menjatuhkan maruah malah bercanggah dengan hak asasi manusia . [ Jika 6 rotan sudah dianggap kejam ertinya mereka akan berkata 40 rotan sangat kejam .]
5. Hujjah yang dikemukan ini nyata menunjukkan kejahilan mereka terhadap hukuman Islam . Mereka tidak melihat kepada hikmah dan unsur spiritual yang terdapat di dalam satu - satu perlaksanaan hukum Islam . Mereka hanya menilai dari unsur luar pula dengan cara yang salah dan menanggapinya dengan persepsi yang asing dari pandangan syara' dan maqasid syari'yyah .
6. Lebih menghairankan , mereka hanya peka terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah , kononnya hukuman itu kejam dan menjatuhkan maruah serta bercanggah dengan hak asasi manusia , sedang mereka tidak bersuara apa lagi menentang hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil ke atas pesalah dalam pelbagai kes jenayah dalam negara kita . Sedang sebatan dalam hukuman Islam tersangat jauh bezanya dengan sebatan dalam hukum sivil .
7. Sebatan mengikut cara Islam :
a] Panjang rotan tidak lebih 1.22 meter , tebal tidak lebih 1.25 sm
b] Jika pesalah hamil, hukuman dilaksana selepas 2 bulan melahirk anak
c] Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
d] Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk
e] Sebatan dengan kekuatan sederhana
f] Tukang sebat tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala
g] Tidak melukakan kulit pesalah.
8. Adapun sebatan mengikut kaedah sivil pula :
a] Rotan yang digunakan terdiri daripada berbagai-bagai saiz.
b] Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat
c] Pakaian cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja
d] Bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat
e] Pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua kaki dan tangan.
f] Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus.
g] Sesetengah yang lain menyebat dengan cara sentap.
h] Sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan kerana dirasakan cebisan kulit tersentap keluar .
9. Jika SIS dan JAG terus menerus begini seperti mempunyai dendam terpendam terhadap Mahkamah Syariah dengan mengambil langkah menentang keputusannya malah mengheret persepsi mereka yang separuh masak terhadap Islam , suka saya tegaskan Dewan Pemuda PAS Pusat sedia berhadapan dengan SIS dan JAG demi memelihara kesucian Islam sekaligus membetulkan tanggapan salah mereka terhadap Islam .
10. Kami sedia turun dalam apa jua medan atau forum , wacana atau debat dan dialog atau bahas . Sila anjurkan dan kami akan hadhir . Tindakan SIS dan JAG sudah keterlaluan . Saya tidak faham , apa yang mereka mahu ? Nak jaga maruah ? maruah siapa ? maruah apa yang mereka nak jaga ?
11. Kalau dihukum itu menjatuhkan maruah , maknanya minum arak itu tidak menjatuhkan maruah . Jika sebat pesalah dengan 6 rotan menggunakan kaedah cara sebatan Islam [ biarpun jumlah sebatan itu tidak menepati hukuman Islam ] dianggap kejam , maknanya membiarkan orang mabuk lalu mengheret berlakunya pelbagai jenayah ekoran mabuk seperti berzina atau membunuh itu tidak kejam .
12. Persoalannya , kenapa hukuman sebat yang diputuskan oleh mahkamah syariah dianggap kejam sedang hukuman yang sama diputuskan oleh mahakamah sivil mereka sepi dan membungkam seribu bahasa . Saya nak tanya , apa sebenarnya yang mereka mahu ?
13. Sekali lagi saya cabar Dr. Hamidah Marican Pengarah Eksekutif Sistem In Islam membuka gelanggang debat ilmiyyah dan jemput kami Dewan pemuda PAS Pusat bagi kita membahaskan Benarkah Sebat Kartika satu Kekejaman yang Menjatuhkan Maruah ?


14. Apakah langkah yang diambil oleh SIS dan JAG sebagai tindakan sengaja mahu memberi tekanan ke atas Mahkamah Syariah dan pihak berkuasa agama dalam negara ini untuk tidak bertindak ke atas pesalah - pesalah agama ? atau mereka suka dan bangga melihat negara ini bebas tanpa batas atas nama hak asasi lalu semua boleh berbuat apa sahaja sekalipun suatu yang bertentangan dengan agama ?


15. Tindakan SIS dan JAG ini menimbulkan interpersepsi yang bersimpang siur dan paling dekat , orang - orang yang beriman dan bertaqwa melihat mereka ini berniat jahat terhadap agama Islam dan tidak keterlaluan jika ramai yang menganggap SIS dan JAG berlaku biadab terhadap Islam amnya dan mahkamah Syariah khasnya .

.::Syawal: Memambah Kuantiti Ibadah::.

Bahang sambutan ‘Idilfitri masih terasa. Dalam usaha meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadhan, umat Islam sangat dianjurkan untuk terus berpuasa pada Syawal tetapi cuma enam hari sahaja, yang dikenali sebagai puasa enam.

Bagi mereka yang ingin memulakan puasa enam pada 2 Syawal 1426H secara berterusan, hari itu adalah ‘Hari Raya’ kedua bagi mereka, namun bagi yang belum memulakannya, masih belum terlewat melaksanakan amalan sunat itu selagi kita masih lagi berada di dalam bulan Syawal.

Hikmah atau rahsia puasa enam hari pada bulan Syawal adalah untuk mendidik kesabaran insan, sekali gus tidak menjadikan Hari Raya sebagai tempoh untuk membalas dendam iaitu dengan mengambil pelbagai makanan lazat yang terhidang sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa.

Ia juga akan memberi kesempatan kepada tubuh badan kita untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga. Justeru diutamakan puasa enam bermula pada 2 Syawal.

Namun begitu, puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana hari sepanjang bulan Syawal samada secara berterusan atau pun berselang seli. Namun, tiada hari yang paling afdhal untuk memulakan puasa sunat ini baik pada Hari Raya Kedua dan dilakukan pula secara berterusan sehingga hariraya ketujuh. Kerana dalam Islam melayan tetamu dan memenuhi jemputan adalah lebih aula...

Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah hadith daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith itu menjelaskan jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun.

Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.

Barangkali ada kemungkinan amalan puasa kita pada Ramadhan berkurangan atau pun cacat sedikit, maka puasa enam Syawal adalah sebagai penampal terhadap kekurangan atau kecacatan itu. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat. Ia juga dapat mengelakkan budaya atau sikap suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga Ramadhan hampir menjelang pada tahun akan datang.

Pelbagai ganjaran dan kelebihan yang diperoleh umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakan puasa enam pada Syawal ini. Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW, bersabda yang bermaksud: “Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh.” – (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban)

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Siapa berpuasa Ramadhan, lantas disambung dengan enam hari pada Syawal, maka dia bagaikan berpuasa selama setahun.” – (Hadith riwayat Al-Bazzar).

Pahala puasa Ramadhan yang dilanjutkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda, seperti disentuh dalam hadith.

Membiasakan puasa selepas Ramadhan memiliki banyak manfaat, di antaranya:
Puasa enam hari pada bulan Syawal adalah pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh;

Puasa Syawal dan Sya’aban bagaikan solat sunat rawatib, dan berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Perkara ini kerana pada hari qiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunat.

Seperti keterangan Rasulullah SAW dalam beberapa riwayat, majoriti puasa fardhu yang dilakukan Muslimin memiliki kekurangan dan ketidaksempurnaan dan keadaan ini memerlukan sesuatu bagi menutup dan menyempurnakannya.
Membiasakan puasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan.

Segala amalan yang dikerjakan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada Ramadhan tidak akan terputus dengan berlalunya bulan Ramadhan yang mulia ini, selama dia masih hidup.

Monday, September 28, 2009

.::Aidil Fitri: Mengimbau kembali Ramadhan Yang telah berlalu::.

Sudah seminggu kita meninggalkan Ramadhan. Memang terasa sekali kehilangan Ramadhan. Alhamdulillah syukur kerana Allah S.W.T memberi kesempatan kepada ana untuk menghabiskan pertemuan dengan Ramadhan selama 29 hari. Satu nikmat yang cukup besar bagi kita umat Islam. Alhamdulillah ana dapat menunaikan solat tarawikh secara berjemaah sebanyak 28 malam dan 1 malam lagi ana buat sendiri di rumah. Alhamdulillah dengan taufiq dari Allah S.W.T, ana dapat bertahhajud hampir setiap malam. Alhamdulillah, Allah S.W.T memberikan ana kekuatan untuk membaca Al-Quran walaupun ana gagal untuk khatam dalam bulan Ramadhan... Alhamdulillah Ramadhan kali ini ana berjaya untuk melatih diri agar makan sekadar yang perlu sahaja dan kesannya ana tidak rasa mengantuk dan malas untuk bertarawikh... Alhamdulillah Ramadhan kali ini banyak mengajar ana untuk lebih dekat dengan Allah... Alhamdulillah syukur tak terhingga atas kurniaan nikmat islam dan iman oleh Allah S.W.T pada ana... Semoga Allah memberi kesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan di masa akan datang... Aminnn....

Wednesday, September 16, 2009

.::Ramadhan: Sudahkah Anda Menjelaskan Zakat Fitrah::.


Sekadar mengingatkan kepada diri ana yang sering lupa. Kita telah berada di minggu yang kedua daripada bulan ramadhan tahun ini, dan dua minggu lagi kita akan menyambut hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri setelah menunaikan kewajipan berpuasa ramadhan selama satu bulan.

Maka kita sebagai kaum muslimin dan muslimah yang mampu, diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sendiri dan bagi orang-orang yang menjadi tanggungannya.

Zakat ialah merupakan proses pembersihan diri dan satu cara untuk mendatangkan keberkatan kepada harta benda. Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat : 103 yang bermaksud :

” Ambillah (sebagai) zakat dari sebahagian harta mereka (kerana) dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka.”

Kemudian Sabda Rasulullah SAW pula :

” Zakat fitrah sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia, dan dari perkataan buruk dan sebagai pemberian makanan kepada orang miskin. Maka barangsiapa mengeluarkan sebelum solat aidilfitri (sembahyang hari raya puasa) maka ia adalah zakat yang makbul (diterima) dan barangsiapa yang mengeluarkan sesudah solat aidilfitri, maka ia merupakan sedekah seperti sedekah-sedekah yang lain.”

Puasa ramadhan seseorang itu akan tergantung antara langit dan bumi melainkan setelah menunaikan kewajipan zakat fitrah. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW :

” Puasa bulan ramadhan itu tergantung antara langit dan bumi dan tidak dapat diangkat melainkan dengan mengeluarkan zakat fitrah.”

Sesungguhnya zakat fitrah itu ada mempunyai sepuluh keistimewaannya. Antaranya ialah :

  1. Membersihkan diri daripada dosa-dosa
  2. Menyelamatkan diri daripada neraka dan siksaannya.
  3. Menjadikan puasa ramadhan itu diterima (makbul)
  4. Melayakkan diri untuk mendapat nikmat syurga.
  5. Keluar daripada kubur di dalam keadaan aman.
  6. Segala kebajikan ditahun itu diterima.
  7. Layak untuk mendapat syafaat Rasulullah SAW di hari kiamat.
  8. Dapat melalui ” Siratul Mustaqin ” seperti kilat.
  9. Diberatkan timbangan kebajikan dihari pembalasan nanti.
  10. Diselamatkan oleh Allah SWT namanya (pengeluar zakat fitrah) daripada senarai nama orang-orang yang mendapat kecelakaan.

Selain itu, perintah zakat fitrah itu mengandungi nilai-nilai hikmah kemanusiaan dan kemasyarakatan yang tinggi, antaranya ialah :

  1. Mengagihkan nikmat kesenangan, kemakmuran dan kekayaan itu kepada mereka yang kurang bernasib baik.
  2. Menanam perasaan bertanggungjawab, tolong-menolong dan bantu-membantu.
  3. Mengeratkan silatulrahim di antara mereka yang berada dengan mereka yang kurang bernasib baik.
  4. Mempamerkan konsep persaudaraan Islam yang sebenar.
  5. Menghilangkan jurang pemisah antara golongan yang berada dengan golongan yang kurang berada.
  6. Membuka jalan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan tidak berada untuk bersama-sama meraikan hari raya aidilfitri.
  7. Membuktikan kesyukuran seseorang itu kepada Allah SWT dan lain-lain lagi.

Justeru itu, zakat fitrah adalah satu kefarduan dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Ianya adalah salah satu daripada rukun Islam dan menjadi tanggungjawab tiap-tiap muslim menunaikannya dengan tidak mengharapkan apa-apa pembalasan dari yang menerima.

Adakah anda sudah menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah pada tahun ini ?

Tuesday, September 15, 2009

.::Salam Aidilfitri:Maaf Zahir dan Batin::.

Image Hosted by ImageShack.us

Friday, September 11, 2009

.::Ramadhan: Antara Babi dan Aurat::.

Khutbah Jumaat di Masjid Jamek Kubang Boya, Butterworth hari ini disampaikan oleh Al-Fadzil Ustaz Abdul Mutalib Maarof. Khutbahnya berkisar ketaqwaan kepada Allah s.w.t dan turut ditekankan peranan ibadah puasa dalam membentuk jati diri seorang umat yang benar-benar bertaqwa mengikut perspektif Islam.

Apa yang menarik bagi ana dalam khutbah hari ini adalah bila beliau menyentuh soal aurat. Yang menarikinya beliau membandingkan aurat dengan babi. Katanya, babi hanya haram dimakan dan disentuh tetapi aurat bukan sekadar haram untuk disentuh tetapi haram juga bila melihatnya. Memang besar peranan dan tanggungjawab setiap individu muslim dan muslimat dalam hal menjaga / menutup aurat. kerana perumpaan yang dibawakan oleh al-Fadzil ustaz jelas menunjukan bahawa orang tidak menutup auratnya lebih hina dari babi...

Apa yang berlaku pada kita dan masyarakat sekeliling kita adalah meletakan babi ke satu kedudukan yang terlalu hina. Padahal kalau sekadar melihat babi dibawa di atas lori di jalanraya, atau melihat babi di Zoo, atau melihat babi yang siap di panggang di restoran cina tidak mendatangkan apa-apa kesalahan pada kita. Tambah teruk lagi, kita pastinya akan termuntah kalau ada dikalangan kawan kita yang bukan islam memakan babi di depan kita.

Sebaliknya kita dapat menerima kehadiran insan-insan yang kononnya mengaku Islam tetapi tidak menutup aurat. Kita boleh dengan tanpa rasa bersalah atau rasa berdosa berbual dengan mereka yang tidak menutup aurat seperti yang disyaratkan oleh syarak. Sepatutnya dalam kes ini kita sepatutnya memalingkan pandangan kita dari melihat insan-insan yang tidak menutup aurat ini kerana ianya haram untulk dilihat... Kalau melihatnya sudah dikira haram apatah lagi kepada individu yang membuka aurat tersebut?
Sama-sama kita renungkan... Semoga Ramadhan kali ini benar-benar mentarbiah diri kita agar kita dapat mencapai falsafah ibadah puasa kita iaitu melahirkan individu islam yang bertaqwa...

.::Ramadhan: Selamat memasuki fasa ke 3::.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana diberikan kesempatan untuk berada dalam dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah, bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran dan Rahmat Allah s.w.t. Moga-moga Allah terus memberikan kita berkempatan untuk menamatkan ramadhan yang berbaki 8 atau 9 hari lagi InsyaAllah...

Dalam kita mengharungi baki Ramadhan ini marilah kita muhasabah diri kita, melihat kembali kepada kualiti ibadah puasa kita. Apakah tahap atau standard puasa kita sama sahaja seperti tahun-tahun yang lepas, berlalunya Ramadhan tanpa meninggalkan apa-apa bekas atau apa-apa kesan pada jiwa kita. Jadi dengan baki Ramadhan yang tinggal 8-9 hari ini marilah kita meningkatkan kualiti puasa kita ke tahap semaksima mungkin kerana inilah peluang terbaik yang kita ada kerana Ramadhan tahun hadapan belum tentu milik kita... Mungkin Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir buat kita. Jadi pergunakanlah peluang yang ada sebaik mungkin. Sama-sama kita meningkatkan kualiti puasa kita moga-moga kita tergolong dikalangan orang-orang yang bertaqwa, InsyaAllah.......

Dikesempatan ini juga ana memohon ampun dan maaf di atas segala segala ketelanjuran dan kelantangan ana menulis di blog ini. Dan ana juga mengucapkan Selamat Aidilfitri buat semua pengunjung blog ini... Maaf Zahir dan Batin..........