CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Thursday, May 14, 2009

.::Aqiqah : Satu Tanggungjawab::.

Semalam ana berkesempatan berbual dengan kawan-kawan sekolah ana dulu menerusi YM. Dalam asyik berbual tuh adalah yang tanyakan ana perihal ibadah aqiqah. Jadi disebabkan nak cerita di YM tu panjang sangat dan connection internet ana petang semalam kurang stabil jadi dikesempatan ini ana ingin berkongsi sedikit info berkenaan aqiqah.

Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)

Hukum Aqiqah


Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)

Daging Aqiqah

Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya:
"Afdal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."

(Hadis riwayat al-Hakim)

Ini bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.

Waktu Aqiqah

Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.

Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)."

(Hadis riwayat al-Hakim)

Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari.

Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran

Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja.


Syarat Sah Aqiqah


Syarat sah aqiqah ialah:

  • Berniat aqiqah ketika menyembelih.
  • Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta.
  • Memenuhi syarat-syarat sembelihan.
  • Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut
  • Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran @ bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh
  • Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.
Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan Qurban adalah seperti berikut:

Binatang

Umur

Biri-biri/

1 tahun atau lebih

Kambing

2 tahun atau lebih

Lembu/kenbau

2 tahun atau lebih

Unta

5 tahun atau lebih


Sunat-sunat Aqiqah ialah:

  • Dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran
  • Menyembelih ketika matahari sedang naik (pagi)
  • Mencukur rambut bayi selepas penyembelihan
  • Memberi nama yang baik kepada bayi
  • Berdoa ketika hendak menyembelih
  • Daging dimasak manis.
  • Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak.
  • Daging aqiqah disunatkan buat jamuan atau kenduri

Hikmah Aqiqah

  • Tanda kesyukuran diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjalankan syariat Islam dan dianugerahkan anak
  • Menggalakkan amalan sedekah.
  • melepaskan penghalang pada bayi dalam memberi syafaat kepada orang tua mereka
  • Sebagai mengikuti sunnah Rasulullah.
  • Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat.
  • Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri.
  • Memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik
  • membiasakan berkorban bagi orang tua

0 comments: