CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS
Image Hosted by ImageShack.us
Image Hosted by ImageShack.us

Thursday, May 14, 2009

.::Aqiqah : Satu Tanggungjawab::.

Semalam ana berkesempatan berbual dengan kawan-kawan sekolah ana dulu menerusi YM. Dalam asyik berbual tuh adalah yang tanyakan ana perihal ibadah aqiqah. Jadi disebabkan nak cerita di YM tu panjang sangat dan connection internet ana petang semalam kurang stabil jadi dikesempatan ini ana ingin berkongsi sedikit info berkenaan aqiqah.

Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)

Hukum Aqiqah


Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)

Daging Aqiqah

Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya:
"Afdal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."

(Hadis riwayat al-Hakim)

Ini bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.

Waktu Aqiqah

Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.

Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)."

(Hadis riwayat al-Hakim)

Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari.

Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran

Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja.


Syarat Sah Aqiqah


Syarat sah aqiqah ialah:

  • Berniat aqiqah ketika menyembelih.
  • Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta.
  • Memenuhi syarat-syarat sembelihan.
  • Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut
  • Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran @ bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh
  • Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.
Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan Qurban adalah seperti berikut:

Binatang

Umur

Biri-biri/

1 tahun atau lebih

Kambing

2 tahun atau lebih

Lembu/kenbau

2 tahun atau lebih

Unta

5 tahun atau lebih


Sunat-sunat Aqiqah ialah:

  • Dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran
  • Menyembelih ketika matahari sedang naik (pagi)
  • Mencukur rambut bayi selepas penyembelihan
  • Memberi nama yang baik kepada bayi
  • Berdoa ketika hendak menyembelih
  • Daging dimasak manis.
  • Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak.
  • Daging aqiqah disunatkan buat jamuan atau kenduri

Hikmah Aqiqah

  • Tanda kesyukuran diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjalankan syariat Islam dan dianugerahkan anak
  • Menggalakkan amalan sedekah.
  • melepaskan penghalang pada bayi dalam memberi syafaat kepada orang tua mereka
  • Sebagai mengikuti sunnah Rasulullah.
  • Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat.
  • Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri.
  • Memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik
  • membiasakan berkorban bagi orang tua

Wednesday, May 13, 2009

.::Sebelum Tidur: Berwasiat dan Bertaubat::.

Imam Ghazali menyatakan; bahawa doa kebanyakan para nabi a.s., ialah berdoa seperti berikut (yang bermaksud): "Ya Allah Tuhanku, aku minta ampun kepada-Mu daripada sebarang dosa yang aku telah bertaubat, tapi setelah itu aku lakukan semula. Aku minta ampun daripada semua yang telah aku janji dalam hati kepada-Mu tetapi tidak aku laksanakan.

"Aku bertaubat daripada dosa waktu aku ibadat untuk-Mu, tetapi tiba-tiba mencelah sesuatu menyebabkan ibadah berubah kepada kerana yang lain daripada-Mu.

"Aku mohon ampun kepada-Mu kerana nikmat yang Engkau kurniakan itu sepatutnya untuk mentaati-Mu, sebaliknya telah aku gunakannya untuk ingkar suruhan-Mu.

"Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui sama ada yang zahir atau yang terselindung, aku minta ampun daripada sebarang dosa yang aku lakukan pada siang hari atau pada malam gelap di tempat tersembunyi, ketika beramai atau ketika seorang diri, ampunilah daku wahai Tuhan yang Maha Lemah Lembut."

Demikian doa dan istighfar para nabi sejak daripada Nabi Adam a.s. hingga ke Nabi Muhammad s.a..w., telah dinukilkan oleh Imam Ghazali yang dimuatkan dalam kitabnya untuk mendapat perhatian dan menjadi amalan umat akhir zaman, yang persoalannya sangat penting dan bernilai tinggi.

Kini akan membincangkan mengenai adab tidur. Meskipun tidur itu sebagai perkara tabiei kebiasaan bagi manusia, sebagaimana makan minum dan naluri lain seumpamanya, semua tuntutan naluri tabiei dan segala gerak-geri itu, boleh dijadikan sumber pahala untuk bekalan ahirat.

Tidur merupakan kesinambungan daripada sifat mengantuk. Sesungguhnya sifat mengantuk itu bukan sesuatu yang dicari atau diusahakan, tetapi ia terjadi setelah tubuh letih akibat aktiviti kerja sepanjang hari.

Islam mengajar manusia sama ada perkara yang diikhtiar atau tidak jika seseorang itu tahu, ia akan jadi bekalan hidup di akhirat.

Tidur setelah didahului rasa mengantuk kurniaan Tuhan, akan menjadikan tubuh rehat dan cergas segar semula. Di akhirat ada habuan bagi manusia itu.

Justeru Islam mengajar peraturan dan adab tidur, supaya tidur menjadi suatu ibadah yang berfaedah kepada manusia di dunia dan akhirat.

Peraturan dan adab yang pertama, ialah bersihkan mulut dengan bersugi (gosok gigi) dan bersuci serta berwuduk.

Islam bukan saja suruh berwuduk ketika hendak menunaikan solat atau membaca al-Quran, bahkan Islam anjurkan berwuduk itu mengajar manusia agar tidur dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT.

Seseorang yang berwuduk andainya meninggal dunia semasa tidur, maka matinya dalam keadaan suci bersih. Tiada yang boleh beri jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula untuk meneruskan hidupnya.

Oleh itu apabila seseorang hendak tidur dia hendaklah bersiap, kerana dia sendiripun tidak tahu masih adakah baki umurnya selepas tidur.

Setelah bersugi dan berwuduk mereka dikehendaki bersiap menyediakan air (khusus di tempat yang sukar air) untuk bersugi dan berwuduk selepas bangun pagi esoknya.

Jika dia dikurniakan umur lagi, persiapan itu untuk mengulangi keperluan bersugi dan berwuduk sebagai sunnah Nabi s.a.w.

Sebelum meletakkan kepala atas bantal untuk tidur, hendaklah dia menaruh azam dalam hati dengan niat untuk bangun menunaikan ibadat solat tahajud dan witir juga ibadah selainnya.

Kalau tidur berniat begini akan dipermudah oleh Allah SWT untuk bangun pada hujung malam. Ini kerana tidur dengan hasrat untuk melakukan ibadah sebagaimana kelazimannya, tidurnya tidaklah tidur mati tetapi sentiasa teringat-ingat akan niatnya.

Adab tidur seterusnya ialah bagi mereka yang sepatutnya ada wasiat lantaran berhutang, maka kewajiban mereka ialah menyediakan surat wasiat.

Kewajiban orang berhutang ialah berwasiat kepada keluarganya, supaya tanggungjawab itu dipikul keluarganya jika dia meninggal dunia.

Jika orang yang berhutang itu mati menyebabkan rohnya terseksa, tidak dapat ke mana-mana dan tidak dapat menikmati fadilat syahid. Hutang yang belum dilunaskan jadi penghalang menikmati segala fadilat itu.

Orang yang mempunyai keyakinan mengenai bahaya hutang yang belum dijelaskan, wajib baginya berwasiat kerana seseorang itu tidak selamat daripada diambil nyawanya oleh Tuhan semasa tidur.

Hendaklah sedar bahawa seseorang ketika tidur mempunyai peluang lebih luas untuk mati, berbanding peluang untuk terus hidup.

Ini kerana apabila seseorang tidur rohnya akan beredar meninggalkan jasad, meskipun jantung dan nadi bergerak darah terus mengalir dan nafas keluar masuk.

Hal tersebut terserah sepenuhnya kepada kudrat Allah SWT. Justeru dalam keadaan tidak sedar kerana roh naik ke atas seperti benar-benar telah mati.

b seterusnya apabila bersiap untuk tidur, seseorang itu bertaubat daripada semua dosa, dan tidur dalam keadaan hati suci bersih dengan semua orang Islam. Tiada hasrat di hati hendak menganiaya orang apabila terjaga esok.

Dengan adab itu dunia akan aman daripada segala kemungkaran dan penyelewengan juga keburukan. Jika seseorang tidak menghormati janji sendiri yang dibuat sebelum tidur, lalu bagaimanakah orang lain akan menghormati dirinya.

~Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat~
Harakahdaily.

Monday, May 11, 2009

.::Pertemuan Yang Bermakna::.

Malam sabtu lalu ana bekesempatan bertemu semula sahabat lama ana zaman persekolahan dulu. Kebetulan dia balik ke Kuala Kangsar dan kami selalu berhubung melalui internet dia call ana ajak jumpa dan minta ana memilih lokasi. Kebetulan juga anapun balik ke Bagan Serai.

Selepas selesai solat isya, sahabat ana nih call ana tanya di mana nak jumpa. Ana beritahu dia kedai tomyam depan kilang silverstone, kemunting. Alhamdulillah tak lama menunggu di tepi jalan, sahabat ana pun sampai. Kami terus ke lokasi.

Perbualan malam tuh pada mulanya hanya perkara-perkara biasa, recall kisah-kisah silam zaman remaja di alam persekolahan. Kemudian bertukar lokasi kerana ada sahabat lain yang nak datang juga. Kami seterusnya ke Pelita Nasi Kandar di Taiping Sentral. Yang datang di situ kemudiannya sahabat ana, Kim dan Mat.

Malam tu tepat pukul 12 tgh malam isteri ana call tanya nak balik pukul berapa? Tapi kerana dah lama ana tak jumpa sahabat ana yang sorang nih ana cuma jawab pada isteri ana kejab lagi... walaupun pada hakikatnya ana sendiri belum rasa nak balik. Akhirnya selepas pukul 1 pagi Kim dan Mat minta diri nak balik, tinggallah ana dan sahabat ana sahaja yang masih bersembang.

Apabila hanya berdua kami mula bercerita pengalaman hidup dulu dan sekarang. Zaman sebelum berubah dan selepas menumui Nur Ilahi. Seronok ana bila dapat berbual dengan sahabat-sahabat ana yang suatu ketika dulu sama-sama huru-hara tapi sekarang sudah dapat apa yang sebenarnya yang dicari selama ini... Tanpa disedari kami berbual hinggan pukul 3pagi. Lalu kami sama-sama meninggalkan Pelita Nasi Kandar, Taping Sentral dengan kepuasan maklumlah kali terakhir ana berjumpa dia kira-kira 5 tahun lalu di hari perkahwinannya.

Terima kasih sahabat ana Ahmad Asri kerana sudi jumpa ana walaupun dulu (zaman persekolah) kita bukannya rapat sangat tapi atas nama persaudaraan islam kita kembali rapat. Ana bangga perubahan yang berlalu pada diri anta. Semoga kita sama-sama terus istiqamah dalam meneruskan perjalanan hidup yang singkat ini...

Thursday, May 7, 2009

.::Rahsia Solat: Disebalik Setiap Rukun::.

Inilah dia rahsia as-solat, sebagai peringatan bagi yang dah tahu atau panduan bagi yang baru tahu......

1 - Niat Sembahyang : Sebenarnya memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat.

2 - Berdiri Betul : Fadilatnya, ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.

3 - Takbir-ratul Ihram : Fadilatnya, sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.

4 - Fatihah : Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.

5 - Ruqu' : Sebagai tikar kita di dalam kubur.

6 - I'tidal : Akan memberi minuman air dari telaga al-kautsar ketika di dalam kubur.

7 - Sujud : Memagar kita ketika menyeberangi titian SIRATUL-MUSTAQIM.

8 - Duduk antara 2 Sujud : Akan menaung panji-panji nabi kita didalam kubur.

9 - Duduk antara 2 Sujud (akhir) : Menjadi kenderaan ketika kita dipadang Mahsyar.

10 - Tahhiyat Akhir : Sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh mungkar & nangkir di dalam kubur.

11 - Selawat Nabi : Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.

12 - Salam : Memelihara kita di dalam kubur.

13 - Tertib : Akan pertemuan kita dengan Allah S. W. T.

Dari Abdullah bin 'Amr R. A., Rasulullah S. A. W.bersabda :
Senarai di atas adalah salah satu sebab mengapa orang Yahudi / Kafir tidak sukakan angka 13 dan juga Hari Jumaat. Itulah sebab mengapa mereka mencipta cerita yang begitu seram sekali iaitu " FRIDAY the 13th " jika ada di kalangan kamu yang perasan!!!

Wassalam.

"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain...

Wednesday, May 6, 2009

.::Meninggalkan Solat: Apa Hukumnya::.

Solat salah satu daripada rukun Islam yang lima, yang diwajibkan ke atas setiap muslim dan muslimat yang mukallaf (baligh dan berakal). Kefarduan ini telah disepakati ulama’ (ijma’) dan dikira sebagai (ما يُعْلـَمْ مِنَ الدِّينِ بالضَرُورَة) perkara asas agama yang diketahui oleh setiap muslim. Sesiapa yang mengingkari kewajibannya menjadi kafir dan murtad, kekal dalam neraka; kerana kefarduannya disandarkan kepada nas yang jelas dan qathi’e (tidak dapat ditokok tambah) daripada Al-Quran, As-Sunnah dan Ijma’.
Sesiapa yang meninggalkan solat kerana malas, bermudah-mudah atau sengaja tanpa menafikan kewajibannya tergolong dikalangan orang yang fasiq dan berdosa besar yang wajib ke atasnya beberapa perkara:-
1. Bertaubat, beristighfar serta menyesal di atas perbuatannya.
2. Mengqada’kan solat yang ditinggalkannya.
3. Dijatuhkan ke atasnya hukuman had.

Hukuman Had ke atas orang yang meninggalkan solat

Ulama’ mazhab berbeza pendapat pada bentuk hukuman yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan solat, setelah mereka bersepakat pada keharamannya dan besarnya dosa peninggalnya berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

* Mazhab Hanafi: Peninggal solat dihukum fasik dan wajib dipenjarakan dan dirotan dengan kuat sampai keluar darah, sehinggalah dia kembali solat dan bertaubat atau mati di dalam penjara. Dia tidak dibunuh kecuali mengingkari kewajipan solat atau mempersendakannya.

* Jumhur ulama’ daripada mazhab Maliki dan Syafie: Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum bunuh walau pun meninggalkan satu fardhu sahaja. Disuruh agar bertaubat selama tiga hari, jika enggan dijatuhkan hukuman had dengan dipenggal kepalanya. Selepas dibunuh, dimandikan dan disembahyangkan ke atasnya serta ditanam di tanah perkuburan orang Islam kerana dia tidak dikira kafir. Ini juga adalah pendapat yang rajih pada mazhab Hanbali sebagaimana dikatakan oleh Ibn Qudamah dalam Al-Mughni .
Hukum Mengqada’kan Solat

Sesiapa yang meninggalkan solat kerana terlupa atau sengaja (dan berdosa jika sengaja), wajib mengqada’kannya. Dalilnya, sabda Nabi S.A.W.:
إذا رقد أحدكم عن الصلاة، أو غفل عنها، فليصلها إذا ذكرها
Maksudnya: Jika tidur salah seorang daripada kamu daripada solat, atau melupainya, hendaklah dia menunaikannya apabila sedar atau teringat.
من نسي صلاة فليصلها إذا ذكرها، لا كفارة لها إلا ذلك
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa satu sembahyang, hendaklah menunaikannya apabila dia teringatnya; tiada kaffarah baginya kecuali yang tersebut (iaitu tidak perlu membayar kaffarah yang lain, memadai dengan menggantikan solat tersebut).
Banyak lagi hadis-hadis lain yang membawa maksud yang sama iaitu wajib mengqada’kan solat yang ditinggalkan. Pada zahir hadis tidak menyebut tentang hukum orang yang sengaja meninggalkan solat, adakah wajib mengqada’kannya atau tidak. Maka disinilah ulama’ memainkan peranan mereka untuk mengeluarkan hukum daripada nas tersebut. Mengikut kaedah Qias, orang yang meninggalkan solat kerana uzur seperti terlupa atau tertidur, wajib mengqada’kannya berdalilkan nas tersebut; maka kewajipan ini terlebih dahulu kena kepada orang yang meninggalkan solat secara sengaja. Jika tidak, jadilah maksiat itu (meninggal solat dengan sengaja) membawa kepada kesenangan (tidak qada’). Ini bertentangan dengan ruh syariat yang adil.

Janganlah kita terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tidak wajib mengqada’kan solat yang telah ditinggalkan kerana cukup dengan Istighfar dan taubat sahaja. Ini kerana jumhur ulama’ daripada mazhab yang empat Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali mewajibkan qada’ solat secara umumnya .
Dikecualikan daripada Qada’ beberapa golongan:

1. kanak-kanak yang belum baligh, tidak wajib menggantikan solatnya yang terdahulu selepas baligh.
2. orang kafir yang memeluk Islam (muallaf) tidak wajib menggantikan solatnya semasa kufurnya.
3. perempuan yang haid
4. perempuan yang nifas (keluar darah akibat beranak)
5. orang gila, mabuk dan pengsan yang bukan dengan sebab yang disengajakan seperti minum arak dll.
Selain daripada mereka, samada tidur, sakit, murtad yang kembali memeluk Islam, [pengsan, gila dan mabuk yang disengajakan] wajib ke atas mereka qada’.

*Tidur tidak boleh disamakan (qias) dengan pengsan iaitu tidak perlu menggantikan solat kerana perbuatan tidur dilakukan dengan sengaja dan kehendak diri, ia berlainan dengan pengsan yang tidak disengajakan. Dalilnya seseorang itu mampu menidurkan dirinya tapi tidak mampu menjadikan dirinya pengsan dengan sendiri dan apabila seseorang itu pengsan, kadang-kadang tidak akan sedar walaupun dikejut dengan kuat. Apabila seseorang memakan ubat untuk pengsan contohnya, maka apabila sedar dia diwajibkan juga mengqada’kan solat yang tertinggal kerana dia sengaja membuat dirinya pengsan.

Jika seseorang daripada lima golongan di atas hilang uzur mereka dan masih tinggal waktu yang mencukupi walau Takbiratul Ihram, wajib baginya menggantikan solat tersebut begitu juga solat yang sebelumnya jika boleh dijama’kan. Hukum ini menyeluruh kepada yang bermusafir dan bermukim.

Contoh: Jika seorang perempuan suci dari haidnya pada akhir waktu Asar, wajib baginya mengqada’kan solat Asar dan Zohor yang sebelumnya. Begitulah juga perihalnya jika suci pada waktu Isyak, wajib mengqada’kan Maghrib dan Isyak.

Jika seseorang perempuan masuk waktu solat dalam keadaan suci, kemudian datang haidnya sebelum sempat dia solat pada waktu itu, dan waktu yang suci itu mencukupi untuk solat; wajib ke atasnya mengqada’kan solat tersebut apabila suci kelak kerana kelalaiannya dan tidak bersegera menunaikan solat selepas masuk waktunya.

*Disunatkan mengqada’ solat secara tertib solat yang ditinggalkan seperti Subuh sebelum Zohor dan begitulah seterusnya. Dan hendaklah seseorang itu mendahulukan solat yang tertinggal daripada solat waktu tersebut kecuali kerana takut luput waktu solat tersebut.

Bagi orang yang tidak tahu berapa kalikah tertinggal solat hendaklah dia melaksanakan qada’ solat tersebut sehingga dia yakin bahawa dia telah menghabiskan solat yang ditinggalkannya .

Hukum menangguhkan solat

Apabila masuknya waktu solat, wajib seseorang itu melakukan salah satu daripada dua perkara:-
1. terus mendirikan solat, itulah yang paling afdhal atau
2. azam untuk menunaikan solat dalam waktunya.
Jika tidak melakukan salah satu daripada perkara yang disebut di atas, sesungguhnya berdosalah dia. Ini dinamakan azam yang khas. Dan wajib bagi seseorang itu selepas baligh menyimpan azam yang umum untuk melakukan segala suruhan Allah dan meniggalkan segala laranganNya .
Haram hukumnya menangguhkan solat sehingga tidak sempat menunaikan solat dengan segala syarat dan rukunnya di dalam waktunya. Sesuatu solat itu dikira sebagai tunai (أداء) jika sempat mendapat satu rakaat daripadanya (selesai daripada sujud yang kedua). Apabila tidak mendapat walaupun satu rakaat, solat itu dinamakan Qada’. Tetapi dosa bukannya berkaitan dengan tunai atau qada’, seseorang itu telah dikira berdosa walaupun sempat mendapat satu rakaat di dalam waktu.

Tidur daripada Solat
Tidur yang dimaafkan sehingga keluar solat daripada waktunya:-
1. tidur yang bukan disengajakan (tertidur)
2. seseorang yang lupa bukan daripada perkara yang dilarang (contoh perkara yang dibenarkan: terlupa kerana sebab belajar atau kerja; contoh perkara yang dilarang: setiap perkara yang dilarang walaupun makruh seperti bermain catur dan lain-lain).

Tidak makruh tidur sebelum masuknya waktu solat. Ada yang bependapat makruh tidur sebelum waktu Isyak dan haram sebelum Jumaat.
Dibolehkan tetapi makruh tidur selepas masuk waktu solat dan sebelum menunaikannya dengan dua syarat:-
1. jika seseorang yakin dapat bangun dengan sendiri atau bantuan yang lain (loceng atau kawan).
2. dan berbaki daripada waktu kadar yang mencukupi untuk bersuci dan solat.
Jika tidak menepati syarat tersebut, baginya dua dosa:-
1. dosa meninggalkan solat pada waktunya
2. dosa tidur
Jika seseorang itu yakin dapat bangun dalam waktu solat, tetapi apabila terjaga nyatalah telah luput waktu solat itu, dia tidak dikira berdosa kerana meninggalkan solat. Dia hanya berdosa kerana sebab tidurnya itu, dan dosanya tidak terhapus kecuali dengan istighfar dan taubat .
والله أعلم

Monday, May 4, 2009

.::Kesilapan dalam solat sering dipandang remeh::.

Suasana pada hari agak menggembirakan sesetengah ibu bapa apabila melihat anak remaja sudah berminat kepada kehidupan beragama. Remaja sudah dilihat mula mahu memenuhi surau dan masjid terutama pada waktu Maghrib dan Isyak.

Mereka mendapat kesedaran beragama semasa di bangku sekolah dan universiti. Arus kesedaran Islam bertiup kencang melawan arus kemodenan masa kini. Remaja kini sudah tidak malu untuk melakukan solat walaupun di tempat selain surau dan masjid.

Mereka sanggup melakukan solat kerana mahu menegakkan agama dalam diri mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Solat ialah tiang agama,” (Riwayat Baihaqi).

Ibu bapa dalam hal ini seharus bersyukur kerana anak mereka tidak lagi seperti terlepas tali, boleh terbang ke mana-mana. Mereka kini sudah boleh dikawal, iaitu dikawal oleh agama.

Walau bagaimanapun kita agak sedih apa melihat sesetengah ibu bapa yang masih liat untuk mendirikan solat. Mungkin seminggu sekali untuk solat Jumaat atau mungkin sesekali melakukannya sewaktu balik ke rumah pak mentua. Mereka lakukannya bukan kerana Allah tetapi kerana malu kepada mentua.

Ingatlah berdasarkan hadis di atas, sesiapa yang mendirikan solat bererti mereka telah mendirikan agama dan sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bererti dia meruntuhkan agama. Mahukah ibu bapa ini digelarkan sebagai yang meruntuhkan agama?

Menyedari keadaan ini, saya menyeru semua umat Islam agar tidak mengabaikan solat lima waktu kerana itulah identiti umat Islam. Kurang dari lima waktu, kuranglah keislaman mereka. Malah dengan jumlah yang kurang itu hampir-hampir menyamatarafkan mereka dengan orang bukan Islam.

Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan solat suka saya senaraikan di sini beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh umat Islam dalam ibadah. Kesalahan tersebut walaupun yang tidak disengajakan, kalau tidak diperbetulkan akan menjadi kebiasaan yang sukar dibetulkan semula. Oleh sebab itu perhatikan senarai kesalahan berikut:

Sebelum solat – dalam azan muazzin atau lebih dikenali sebagai bilal, mereka melakukan dua kesalahan secara tidak sedar. Walaupun tidak sedar, lafaz azan itu sudah tidak memberi makna dan maksud yang sebenar.

1. “Asy-hadu an la ilaha illah” – mungkin kerana mereka membacanya berdasarkan huruf rumi maka dibunyikan “Asyhadu” dengan assyadu. Perkataan ini tidak memberi apa-apa makna dan tidak menepati lafaz syahadah yang wajib dibaca.

2. “Lailaha illallah” dipanjangkan “ha” pada perkataan “ilaha” menjadi ilahaa. Perkataan ini juga tidak memberi apa-apa makna.

Jadi, semua bilal dan orang yang hendak mengalunkan azan, eloklah membuat latihan menyebutnya agar tidak terus tersilap. Ingatlah azan mengajak orang ramai kepada solat, tetapi kalau tersalah sebut, panggilan itu tidak dinilai oleh Allah.

Selain itu suka diingatkan juga bahawa, waktu untuk azan adalah ditentukan oleh muazzin manakala untuk melakukan solat hendaklah ditentukan oleh imam. Maka dalam hal ini bilal perlu memastikan iman bersedia dan mendapat keizinannya.

Waktu solat – terdapat beberapa orang susah hendak masuk niat untuk memulakan solat. Kadang-kadang dia terpaksa mengangkat takbir berkali-kali untuk membolehkan niatnya masuk pada waktu itu. Sikap atau tabiat itu menjadi sebab terlambatnya dia mengikut imam. Padahal niat adalah kerja hati yang datangnya bagaikan angin lalu sahaja, tidak perlu mengambi masa yang panjang.

Mengikut hukum fiqah, apabila seseorang itu mengangkat takbir dengan niat yang betul, takbir dan niat itu sudah diterima. Maka kalau dia mengulangi kali kedua, maka takbir kedua itu menyebabkan solatnya terbatal. Jadi, apabila dia meneruskan solat dengan takbir itu, solatnya tidak dikira oleh Allah. Oleh sebab itu dia perlu ulangi takbir dan niat baru, yang ketiga.

Selain itu takbiratul ihram iaitu dengan menyebut “Allahu Akbar". Lazim yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah mereka memanjangkan “baar” pada perkataan akbar. Dengan memanjangkan “akbar” itu tidak lagi memberi makna “Allah Maha Besar”. Jadi berhati-hati menyebutnya.

Seterusnya dalam membaca surah al-fatihah, mereka terlalu sangat hendak membetulkan sebutan makhraj sehingga jadi berlebih-lebihan. Antaranya ialah membaca “alhamdulillah” ditekankan bacaan pada alham sehingga berbunyi seperti alkham atau alhom. Ini juga telah merosakkan makna al-Fatihah yang asal.

Semasa iktidal juga terdapat kesilapan menyebut pada membaca “samiallahu liman hamidah”. Selalu juga kita dengar sesetengah orang membaca dengan memanjangkan bacaan haamidah. Dengan memanjangkan perkataan pada “ha” memberi erti wanita yang memuji - isim fail muannas. Padahal yang asalnya “hamidah” ialah feil madhi yang memberi erti memuji-Nya.

Panduan ini penting untuk diamati supaya solat yang dikerjakan setiap hari dinilai oleh Allah dengan sebaiknya. Wallahu a’lam.

Saturday, May 2, 2009

.::Hujung Minggu Yang Padat::.

Cuti 3 hari hujung minggu ni mmg ana penuh dan padat dgn pelbagai aktiviti. Kesempatan cuti umum sempena hari pekerja 1 May, ana ambil peluang ni untuk berjumpa dengan kawan-kawan sekolah ana dahulu. Sebelah paginya ana jumpa dengan Mat Kerozan di Taiping Sentral. Tujuan ana jumpa dia untuk serah t-shirt SEARCH yang dia minta ana tolong belikan sempena konsert SEARCH Di Awan Biru yg di adakan di Tapak Ekspo Seberang Jaya... Tak Sangka Mat masih terselit rock di jiwanya macam juga ana (maklumlah membesar dengan muzik search). Ana cuba juga untuk hubungi Akmam dan Hishamudin Zaki tapi jawapannya negatif... Ana tak kisah janji ana dapat jumpa Mat pun kira ok juga. Tanpa diduga akhirnya Akmam muncul juga di Taiping Sentral bersama anaknya walaupun hanya untuk seketika. Peremuan berakhir pukul 12.30 tgh hari dan ana bergegas balik kerana satu kewajipan yang perlu ditunai... solat jumaat.
Malamnya sperti dijanjikan ana berada di Bandaraya Ipoh jumpa dengan kawan-kawan bainunian. Tanpa kehadiran Mat Kerozan yang ada hal ana tetap hadir. Alhamdulillah ana sempat juga bersolat Isya berjemaah walaupun hanya masbuk kerana masalah parking.







Pertemuan yang dirancangkan di Restoran Sabar Menanti, Stadium Perak terpaksa ditukar ke venue lain kerana tutup. Akhirnya Nasmir Riverfront jadi pilihan...

Agak kecewa juga kerana solitary death (band ana dulu) ada yang tak dapat datang... hanya kami bertiga sahaja ana, Sepul dan Use. Yeer demam, Lon ana dah hubungi tapi tak berjawab telefonya, sam pula isterinya datang dari Johore. Namun alhamdulillah support dari kawan-kawan lain memeriahkan pertemuan malam tu. Terima kasih kepada Meor, Mahyudin, Hazman (85-89), Saiful Azli, Nizam (86-90), Jouhar (88-92) dan Alis (sanggup teman Epoi sampai awal pagi). Harap-harap aktiviti macam ni boleh kita buat selalu dan ramai lagi yang join...

Jam dah pukul 2.00 pagi, ana masih di Nashmir dan rasa berat nak balik tinggalkan kawan-kawan walaupun ramai yang dah balik. Akhirnya pukul 2.30 kami semua beredar pulang... Selesai satu hal, esok pagi2 ana perlu bergegas ke Butterworth semulam kerana anak lelaki ana ada perlawanan futsal.

Selepas solat subuh dan berbual sikit dengan jemaah Surau, ana balik ke rumah dan alhamdulillah anak-anak semua dah ready. Jom kita balik ke Butterworh.

Alhamdulillah satu perjalan yang selamat, ana berada di gelanggang futsal Best Bola Bola. Airil Zaquan ada perlawan Futsal tadikanya. Tanpa diduga pasukannya berjaya ke perlawanan akhir pada 24 Mei nanti. Sekali lagi Alhamdulillah...



Selepas zohor ana qadha semula tidur ana...ZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZ